KOMUNIKASI antara bidang yang sering menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
Ilmu komunikasi ini penting kerana dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan dalam bidang berkaitan media dan kewartawanan.
Namun begitu, jurusan komunikasi baru-baru ini menjadi sesuatu topik yang ‘kecoh’ di media sosial kerana ada pihak menganggapnya satu jurusan yang ‘bodoh’.
Sebenarnya, bidang komunikasi ini mustahak dan masih relevan untuk dijadikan pilihan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke universiti.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, selagi manusia terus berkomunikasi bidang ini akan terus menjadi sesuatu yang penting.
Menurutnya, bidang komunikasi ini akan menjadi lebih mencabar dengan perkembangan teknologi pada hari ini.
“Keperluan bidang komunikasi ini semakin diperlukan seiring dengan kemajuan dalam teknologi terutamanya dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
“Komunikasi ini menjadi aspek yang menghidupkan teknologi dan mereka yang mahir akan menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan atau pengisian untuk berkomunikasi,” katanya kepada K-Kampus.
Di sinilah pentingnya kepakaran dalam komunikasi untuk mengisi dan menyampaikan mesej secara efektif melalui pelbagai platform.
Berkongsi pendapat, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, komunikasi adalah satu ‘payung besar’ yang merangkumi pelbagai cabang.
“Antara cabang komunikasi ini termasuk perhubungan awam, kewartawanan, penyiaran, komunikasi strategik dan lain-lain lagi.
“Sebagai contoh, komunikasi strategik inilah yang banyak organisasi kurang, ramai tidak sedar bahawa jawatan-jawatan penting dalam organisasi memerlukan latar belakang komunikasi,” jelasnya.
Di Malaysia, banyak universiti yang menawarkan bidang pengajian komunikasi dan bidang ini terus mendapat permintaan bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian.
Minggu ini K-Kampus menyenaraikan 10 universiti terbaik bagi jurusan komunikasi dan perhubungan awam (PR) berdasarkan penilaian daripada EduRank.
EduRank atau EduRank.org ialah satu badan antarabangsa yang menghimpunkan pangkalan data berkaitan universiti.
- Universiti Teknologi Mara (UiTM)
UiTM berada pada kedudukan pertama di Malaysia, ketujuh di Asia dan 170 di dunia dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, selain menjadi universiti pelopor dalam bidang itu, antara faktor kejayaan juga kerana pendekatan kurikulum yang sentiasa dikemas kini setiap lima tahun.
“Selewat-lewatnya setiap lima tahun kita akan melakukan rombakan kurikulum agar selari dengan perkembangan akademik dan industri itu sendiri.
“Rombakan ini yang membuatkan kita mampu bersaing dengan apa yang ada dalam industri dan apa yang kita keluarkan daripada bidang akademik itu sendiri,” katanya.
Bidang komunikasi di UiTM kekal antara program yang paling mendapat permintaan tinggi setiap tahun.
Untuk program komunikasi, pihak UiTM menawarkan program pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Untuk permohonan diploma baru-baru ini, UiTM mendapat lebih 1,000 permohonan sedangkan pengambilan terhad untuk 400 orang.
2. Universiti Utara Malaysia (UUM)
UUM juga mencipta pencapaian yang membanggakan apabila berada pada kedudukan kedua di Malaysia, 13 di Asia dan 254 dunia.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad berkata, menduduki tempat kedua terbaik di Malaysia bagi bidang komunikasi adalah sesuatu pencapaian yang penting,
“Program komunikasi di UUM baru menjangkau usia 25 tahun berbanding universiti-universiti lain yang telah tawarkan program ini sudah lama.”
“Apa yang membezakan UUM dalam bidang komunikasi berbanding universiti lain adalah kami tidak melahirkan pembaca berita atau wartawan semata-mata tetapi kita melahirkan pengurus.
“Kami menyesuaikan kurikulum agar selari dengan kekuatan universiti itu dalam bidang pengurusan,” ujarnya.
3. Universiti Malaya (UM)
UM berada pada kedudukan ketiga di Malaysia, 14 di Asia dan 255 dunia.
Malah, UM merupakan universiti tertua di Malaysia yang menawarkan program berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang, termasuk bidang komunikasi.
Ia bermula pada tahun 1976 sebagai Program Penulisan Kreatif dan Deskriptif UM dan kemudian Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM menjadi satu identiti baharu pada 2018 untuk mencerminkan amalan industri dan kemajuan akademik dalam disiplin tersebut.
Pada masa ini ia menawarkan kursus termasuk kewartawanan, pengajian penerbitan, perhubungan awam, penulisan profesional, media baharu, penerbitan skrin dan penyiaran.
4. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Meskipun dikenali sebagai sebuah universiti peneraju dalam bidang kejuruteraan petroleum di negara ini, UTM mencipta sejarah tersendiri untuk bidang komunikasi.
UTM berada pada kedudukan keempat di Malaysia, 15 Asia dan 265 dunia.
Malah, UTM tidak menawarkan program komunikasi arus perdana seperti universiti lain.
Bagaimanapun, dalam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan terdapat kursus dan program berkaitan kemahiran komunikasi yang ditawarkan.

5. Universiti Sains Malaysia (USM)
USM berada pada kedudukan kelima di Malaysia serta di kedudukan ke-16 di Asia dan 270 dunia.
Kejayaan ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja unggul dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga dalam bidang sains sosial dan sastera.
Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan ini yang menurut beliau, ia adalah hasil usaha kolektif melibatkan pensyarah, pentadbir, pelajar, alumni serta rakan strategik industri.
Beliau turut menyatakan bahawa pengiktirafan ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja melahirkan saintis dan penyelidik hebat, malah juga pemimpin masyarakat dalam bidang komunikasi dan media.
6. Universiti Putra Malaysia (UPM)
UPM terus mengekalkan reputasi sebagai antara institusi pengajian tinggi terbaik di Malaysia dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.
Ia kini berada pada kedudukan keenam di Malaysia, 26 Asia dan 335 dunia.
Dengan sejarah penubuhan yang menjangkau lebih dua dekad, program komunikasi di UPM bukan sahaja membina asas kukuh dalam teori dan amalan, malah terus menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri media dan teknologi.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata, UPM telah menawarkan program komunikasi ini sejak tahun 1998.
“Jadi, ia bukan satu program baharu, malah sudah matang dengan pengalaman hampir 25 tahun,” jelasnya.
Salah satu kekuatan utama UPM ialah penawaran laluan akademik yang menyeluruh bermula daripada ijazah sarjana muda, seterusnya ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) untuk bidang komunikasi.
7. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
UKM turut tersenarai sebagai universiti terbaik dan berada di kedudukan ketujuh Malaysia, 28 Asia dan 361 dunia.
Ketua Program Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh berkata, berbeza dengan universiti lain, UKM mengambil pendekatan menyeluruh untuk program komunikasi.
“Universiti lain menawarkan pengkhususan seperti kewartawanan atau perhubungan awam untuk program komunikasi.
“Di UKM tiada pengkhususan sebaliknya pelajar komunikasi belajar kesemuanya kewartawanan, penyiaran, perhubungan awam, pengurusan acara, media baharu dan lain-lain lagi,” katanya.
Malah, program komunikasi di UKM sentiasa dapat permintaan tinggi setiap tahun dan turut menerima kemasukan pelajar antarabangsa yang kian meningkat.
8. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Berdasarkan ranking, UIAM berada pada kedudukan kelapan di Malaysia, 49 Asia dan 468 dunia.
UIAM menawarkan pengajian daripada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktof falsafah (PhD) untuk jurusan komunikasi.
Selain itu, UIAM turut menawarkan program sarjana muda yang menawarkan pengkhususan berasaskan bahasa sebagai media komunikasi global.
9. Universiti Taylor’s
Universiti Taylor’s menjadi universiti swasta pertama yang tersenarai dan berada di kedudukan sembilan di Malaysia, 73 Asia dan 585 dunia.
Pengarah Program bagi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Taylor, Philip Gan Chee Keat berkata, pihaknya komited untuk menawarkan kurikulum yang berkaitan dengan industri dan mengintegrasikan pendedahan praktikal pada setiap peringkat pengajian.
“Kerjasama kukuh kami dengan industri rakan kongsi dan rekod prestasi yang konsisten tentang kebolehpasaran graduan tinggi mengukuhkan lagi reputasi kami,” katanya.
10. Universiti Multimedia (MMU)
MMU turut tersenarai dan berada di kedudukan ke-10 di Malaysia, 106 Asia dan 739 dunia. Di MMU, bidang komunikasi ditawarkan dari peringkat asasi sehingga doktor falsafah (PhD).
Program ditawarkan merangkumi Diploma Komunikasi Gunaan, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Strategik Komunikasi), Sarjana dan PhD dalam Komunikasi (Penyelidikan).
















