ALOR SETAR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam lubang saluran kumbahan di satu lokasi berdekatan Stadium Darul Aman, di sini.
Menerusi video berdurasi 16 saat yang tular di TikTok hari ini, wanita terbabit dilihat berjalan sambil memegang barang sebelum hilang dari pandangan.
Beberapa lelaki yang menyedari wanita itu terjatuh ke dalam lubang kumbahan terus berlari untuk menyelamatkannya.
Kejadian dikatakan berlaku berhampiran sebuah restoran makanan segera dekat stadium tersebut.
Video sama turut memaparkan keadaan lubang yang mempunyai paip serta air kumbahan berwarna gelap.
Lubang berkenaan kemudian dilihat ditutup sementara menggunakan kerusi.
Meninjau ke ruangan komen, seorang pengguna JieAa253 mengakui bahawa dia adalah abang kepada wanita terbabit dan memaklumkan adiknya mengalami lebam pada badan dan kaki selain kepala terhantuk pada paip.
“Adik saya ni, loji tu cuma tutup dengan cardboard saja, yang pijak memang boleh jatuh. Dia bukan tengok telefon ya, memang tak patut. Ni kalau budak-budak yang jatuh, tak tahulah macam mana,” katanya.
Dia juga memaklumkan bahawa paras air di dalam lubang itu agak dalam.
“Kalau ikut dalam tu, memang dalam. Kalau air penuh tu memang tenggelam tetapi air paras dada.
“Lubang kecil tetapi dalam sangat-sangat,” katanya dan memaklumkan akan mengambil tindakan berhubung kejadian itu.
Sementara itu, rata-rata netizen lain menyatakan bahawa mereka biasanya akan mengelak berjalan di atas penutup lubang kumbahan kerana bimbang terjatuh.
“Sebab tu aku kalau jalan di mana-mana aku tak akan pijak penutup longkang ni, baik yang jenis simen atau jenis besi sebab benda tu lama-lama boleh reput, bahaya,” kata Siti Mariam7398.
Pandangan sama turut dikongsi jue “Sebab tu kalau jalan selalu aku elak-elak lubang gini takut terbolos, maaflah saya memang overthinking.” – KOSMO! ONLINE
@vinx99999 Jatuh dalam loji kumbahan stadium darul aman . Selamat tak kena besi dalam tu . #stadiumdarulaman #mbss ♬ som original – rayssa