fbpx
Steven Sim (tengah) hadir sesi libat urus Perkeso bersama pekhidmat rumah ibadat bukan Islam di George Town, hari ini.

Sasaran sejuta pencarum SKSPS mampu dicapai hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yakin sasaran untuk mencapai sejuta pencarum aktif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menjelang hujung tahun ini berada di landasan tepat.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini terdapat lebih 800,000 pencarum aktif di seluruh negara yang mencarum di bawah skim berkenaan dan angka tersebut dijangka meningkat dalam masa terdekat.

“Kita memang yakin dengan usaha pelbagai pihak khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan rakan strategik lain, sasaran satu juta pencarum itu boleh dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan sesi libat urus Perkeso bersama pekhidmat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang.

Menurut beliau, masih ramai individu dalam sektor bekerja sendiri termasuk penjaja, pemandu e-hailing, petani, nelayan serta pengendali rumah ibadat bukan Islam yang tidak mengetahui bahawa mereka layak mencarum di bawah skim berkenaan.

“Kita mahu semua lapisan masyarakat sedar bahawa perlindungan sosial ini terbuka kepada semua termasuk mereka di rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

Beritahu beliau lagi, SKSPS itu amat penting kepada golongan B40 dan M40 yang bekerja sendiri yang sering kali tidak mempunyai sebarang pelindungan sekiranya ditimpa kemalangan atau hilang upaya.

“Usaha memperluas kesedaran ini juga menjadi agenda penting kerajaan dalam memastikan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang pekerjaan, mendapat perlindungan sewajarnya.

“Ini bukan hanya soal caruman, tetapi soal keselamatan, kelangsungan hidup dan kesejahteraan sosial rakyat secara keseluruhan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI