fbpx
Azeem (tengah) masih berteka-teki sama ada akan beraksi pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand atau tidak.

Jadi ‘jaguh kampung’ atau juara Asia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAJA pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak perlu berasa bersalah andai dia terpaksa mengambil keputusan berat menarik diri daripada Sukan SEA Thailand hujung tahun ini demi kejayaan yang lebih besar tahun depan.

Pelari berusia 21 tahun itu kini dalam dilema kerana menggalas tanggungjawab besar sebagai harapan terbaik negara memenangi pingat emas 100 meter (m) sekali gus kembali merampas gelaran raja pecut Asia Tenggara.

Jika mahu memuaskan ‘ego’ semua, Azeem boleh sahaja turun beraksi di Bangkok pada Disember nanti, namun harus bersedia risiko diserang kepenatan melampau (burnt out) yang boleh menjejaskan segala perancangan besarnya tahun depan.

Sepanjang tujuh bulan terakhir sejak Januari hingga bulan lepas, Azeem sudah mengambil bahagian dalam 31 perlumbaan, tidak termasuk dua kali diklasifikasi DNS (Did Not Start) mungkin kerana kecederaan ringan.

Secara keseluruhan, Azeem sudah berlari 10 perlumbaan 100m, 10 acara 60m dalam dewan, empat 200m dan tujuh 4x100m dengan Sukan Universiti Dunia 2025 di Jerman minggu lalu menjadi kejohanan terakhirnya setakat ini.

Terbuka India di Bhubaneswar bermula 10 Ogos ini menjadi pentas seterusnya buat bintang pecut Universiti Auburn itu yang mana ia adalah peluang terakhir untuk cuba menyambar tiket automatik ke Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun bulan depan.

Atlet dari Teluk Intan, Perak itu perlu memecahkan rekod 100m kebangsaan, 10.09 saat (s) diciptanya di Cali, Colombia tiga tahun lalu dengan catatan baharu 10s untuk layak merit ke Kejohanan Dunia tanpa memikirkan mengenai tiket wildcard.

Selepas itu, Azeem akan pulang ke Amerika Syarikat (AS) menghabiskan ijazahnya memandangkan ini adalah tahun terakhir pengajiannya sebelum memberikan fokus sepenuhnya kepada sukan olahraga pada tahun depan.

Badan Azeem akan benar-benar kepenatan jika terpaksa terbang pulang dari AS sekitar hujung Oktober atau awal November untuk menyertai Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung 9 hingga 20 Disember.

Jika periodisasi latihannya berubah-ubah dan tidak dirancang dengan betul, ia boleh mendatangkan risiko kecederaan yang tentunya mahu dielakkan oleh Azeem kerana dua temasya lebih penting menantinya tahun depan.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun (September) sepatutnya pentas yang perlu lebih diutamakan, bukannya cuma menjadi ‘jaguh kampung’ di Sukan SEA.

Perlu diingat Azeem adalah pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023, dan tentunya mahu melihatnya mempertahankan kejayaan itu atau podium lebih bagus.

Ketika penulis bertemu dengannya baru-baru ini, Azeem berkongsi pengajarannya yang cukup berharga tahun lalu disebabkan tekanan melampau menyebabkan dia gagal menampilkan aksi sebenar pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Mungkin ada sesetengah akan mengkritik Azeem takut berdepan Puripol Boonson selepas kalah tiga kali berturut-turut dengan seteru utama dari Thailand itu.

Biarlah tak menang Sukan SEA pun kerana misi Azeem lebih besar iaitu menjadi pelari pertama dari Asia Tenggara mencetak masa bawah 10 saat, jadi belajarlah melepaskan untuk ganjaran yang lebih besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN