BANGKOK – Polis Thai memburu dua wanita Kemboja yang berkongsi rakaman video memaparkan mereka menunjukkan jari tengah dan memijak bendera negara Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Klip video itu tersebar di platform TikTok, manakala kedua-dua wanita dipercayai pekerja pembinaan.
Netizen membuat spekulasi bahawa mereka bekerja di Thailand dan menggesa polis mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku.
Kedua-dua wanita itu dipercayai melakukan perbuatan mereka di tapak sebuah kilang yang dimiliki oleh warga China di Kawasan Perindustrian Bor Thong 33 di daerah Kabin Buri, wilayah Prachin Buri.
Ketua Polis Wilayah Prachin Buri, Kiattisak Sathongwian bagaimanapun berkata, polis telah melakukan pencarian di kawasan perindustrian di bawah bidang kuasanya tetapi belum dapat mengenal pasti tapak tersebut.
Siasatan masih diteruskan untuk mengesahkan sama ada lokasi dalam video itu berada di wilayah Prachin Buri.
Kiattisak menambah, perbuatan dua wanita itu melanggar Seksyen 118 Kanun Jenayah yang melarang penghinaan terhadap bendera kebangsaan atau simbol negara lain.
Kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga 40,000 baht (RM5,000) atau kedua-duanya sekali. – AGENSI