fbpx
Gambar hiasan.

Istana Seri Kinabalu nafi penggunaan nama keluarga TYT kes kematian pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Istana Seri Kinabalu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya individu yang terlibat dalam kes kematian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Tun Datu Mustapha minggu lalu adalah ahli keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Setiausaha Perhubungan Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Hussin berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan bersifat fitnah yang boleh menjejaskan reputasi keluarga TYT.

“Kami menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan berbaur fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mencemar nama baik institusi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah ke Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

Abdulah berkata, penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak polis atau Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kes itu dibawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, pada 11 pagi 17 Julai, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN