KELANTAN The Real Warriors (TRW) FC serius untuk bersaing dalam kempen Liga Super musim depan selepas menandatangani khidmat bekas tonggak Sri Pahang FC yang juga bekas pemain kebangsaan, Nor Azam Azih.
Presiden Kelantan TRW FC, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran Nor Azam antara dua tonggak penting yang dibawa masuk menyertai skuad revolusi kendalian E. Elavarasan.
Jelasnya, seorang lagi tonggak penting di bahagian tengah yang diikat Kelantan TRW FC ialah bekas pemain import Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA FC), Habib Haroon.
“Sebagai usaha memperkasa bahagian tengah pasukan Liga Super, kita bersetuju membawa masuk dua tonggak penting. Nor Azam Azih dan Habib Haroon kini sebahagian daripada skuad 28 pemain TRW.
“Dua lagi pemain tempatan dan seorang pemain ASEAN akan memperkukuh barisan pertahanan. Kini skuad Kelantan TRW lengkap dan bersedia memulakan saingan liga dan Piala FA mulai Ogos ini,” kata Annuar.
Mengulas lanjut, Annuar turut mendedahkan jersi Kelantan TRW FC bagi musim 2025/26 bakal dilancarkan di Kota Bharu pada Jumaat ini.
Annuar mencadangkan agar pihak penaja dapat menjual jersi pasukan di bawah harga RM100 dengan harapan penyokong tidak terbeban untuk membeli sekali gus menyokong kelab bagi kempen musim depan.
“Semoga setiap keluarga rakyat Kelantan dan penyokong TRW memiliki sekurang-kurangnya sehelai jersi TRW 2025/26.
“Tunggu Jumaat ini, pasukan penuh Liga Super Kelantan TRW muncul memperagakan jersi musim 2025/26 serta memperkenalkan jersi edisi khas,” katanya. – KOSMO! ONLINE