MINAT terhadap karya seni filem membuatkan pelakon yang sedang meningkat naik, Izzul Faiq memilih untuk menggunakan perisian DaVinci Resolve bagi menghasilkan video berkualiti tinggi.
Katanya, perisian tersebut lebih memberi kepuasan dan disifatkan sebagai mesra pengguna meskipun buat golongan pemula.
“Sejak menuntut di universiti lagi saya memang sudah menggunakan perisian ini kerana sangat berpuas hati dengan hasil kualiti warna video yang sudah disunting.
“Bagi saya perisian itu akan menjadi lebih baik jika menggunakannya di komputer iMac kerana hasil kandungan lebih maksimum dan seolah-olah untuk tayangan layar perak,” katanya kepada K-Tekno.
Menurutnya, peranti iMac akan memberikan kualiti warna video yang lebih baik berbanding jenama lain.
“Maaf kalau apa yang saya kongsikan ini mungkin tersalah fakta tetapi saya dimaklumkan spektrum warna (paparan retina 4K atau 5K) membuatkan subjek kelihatan lebih hidup dan semula jadi menggunakan iMac.
“IMac juga menyokong warna P3 wide (julat warna) dan skrin juga membuatkan gambar atau video kelihatan lebih tajam dan jelas.

“Bukan saya katakan jenama lain tidak baik, kerana setiap daripada produk ada kelebihan masing-masing. Tetapi sejak dahulu lagi ramai golongan profesional khususnya dalam industri kreatif menggunakan iMac untuk menyunting karya mereka,” demikian pandangan pelakon drama Badai Semalam dan Dzikir itu.
Di samping berkongsi tentang perisian dan komputer, pelakon berusia 28 tahun itu turut bercerita tentang keghairahan menggunakan telefon model BlackBerry Bold 9000 suatu masa dahulu.
Menggunakan peranti itu ketika berusia belasan tahun, dalam nada berseloroh Izzul berkongsi momen nakal pengalaman ketika dia di bangku sekolah.
“Saya mula pakai BlackBerry (BB)masa sekolah tingkatan lima dan berasa telefon tersebut sudah paling canggih pada ketika itu.

“Papan kekunci yang kelihatan seperti papan kekunci komputer itu membuatkan ia kelihatan berbeza, manakala butang seperti tetikus di tengah-tengah (antara skrin dan papan kekunci) buat telefon itu lebih menarik.
“Dulu kalau hendak memikat guna BB Pin saja dan tidak perlu nombor telefon atau media sosial. Pada saya BB Pin itu buat peranti tersebut sangat unik kerana setiap satunya berbeza macam cap jari,” katanya.
Meskipun kagum dengan inovasi peranti pintar, namun Izzul bukanlah seorang penggemar bermain permainan video sejak dahulu hingga kini.
Baginya, gajet lebih bersifat praktikal dan digunakan untuk memudahkan kerja dan bukanlah sebagai alat untuk memenuhi masa lapang.
“Saya dahulu belajar di Sekolah Sukan Negeri (Kuala Lumpur) dan memang sudah terbiasa dengan aktiviti fizikal. Lagipun keluarga juga selalu menggalakkan saya untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan atau ke kelas taekwondo.
“Jadi saya tiada masa untuk bermain permainan video atau obses dengan sebarang gajet seperti itu. Sekadar mengetahui kewujudan sudah cukup,” ujarnya.














