JAKARTA – Penduduk sebuah kawasan di Deli Serdang, wilayah Sumatera Utara memancing ikan beramai-ramai di satu lopak air sebagai bentuk protes terhadap pemerintah setempat yang tidak membaiki jalan, lapor laman berita Detik hari ini.
Dalam sebuah video tular, orang ramai dilihat mengelilingi lopak air bersaiz besar yang terbentuk di tengah jalan raya itu.
Mereka memancing ikan keli beramai-ramai selepas meletakkan sendiri ikan-ikan itu di dalam lopak.
Seorang penduduk dikenali sebagai Danil berkata, tindakan tersebut dilakukan Sabtu lalu selepas mereka nekad menutup jalan.
“Ia adalah protes penduduk kepada pihak pemerintah kerana sehingga sekarang mereka masih tidak membaiki jalan rosak,” katanya.
Tambah penduduk, jalan itu amat penting kerana ia menjadi akses laluan alternatif untuk penduduk Kota Binjai menuju ke Kota Medan.
“Kami berharap agar pemerintah segera membaiki jalan ini kerana ia penting bagi kami,” kata penduduk bernama Rio.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sumber Air, Lebuhraya dan Perkhidmatan Pembinaan Deli Serdang, Janso Sipahutar ketika dihubungi berkata, pihaknya berjanji akan membaiki jalan tersebut dengan segera.
“Penduduk diminta bersabar kerana kerja-kerja pembaikan memerlukan proses. Kami akan membaiki jalan yang rosak,” katanya. – AGENSI