BRNO – Aprilia mula memberikan isyarat jelas kepada pencabar dalam perebutan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila membuktikan mereka bakal menjadi ancaman lebih besar kepada Marc Marquez menjelang baki 10 pusingan terakhir musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola berkata, pasukannya belum mencapai tahap sebenar tahun ini, namun yakin nilai sebenar jentera dan pelumba mereka hanya akan terserlah bermula September nanti.
“Kami buat perubahan dalam pasukan untuk mencabar kejuaraan dan jelas kami masih belum berada di tahap itu. Namun, saya fikir ada faktor mitigasi. Bagi saya, nilai Aprilia akan terserlah bermula September,” kata Rivola.
Aprilia kini di kedudukan kedua dalam carta pengeluar MotoGP dan muncul satu-satunya pasukan selain Honda yang berjaya menamatkan dominasi Ducati musim ini selepas Marco Bezzecchi meraih kemenangan pada Grand Prix (GP) Britain.
Pelumba itu turut memberikan cabaran sengit kepada Marquez di GP Belanda dan GP Republik Czech, menjadikannya pesaing paling konsisten terhadap Marquez selaku pendahulu kejuaraan yang kini berkelebihan 120 mata selepas 12 pusingan.
“Saya tidak fikir Jorge (Martin) perlukan banyak perlumbaan untuk kembali mencabar podium. Ini bukan untuk menidakkan sumbangan Marco yang telah melakukan kerja luar biasa. Kalau kami berada di sini, ia juga hasil usahanya dan (Lorenzo) Savadori.
“Kalau kami boleh bersaing dengan Marquez menunggang jentera Ducati yang sangat sukar ditewaskan, saya yakin kami juga boleh kalahkannya,” tambahnya.
Rivola menyifatkan GP Austria di Red Bull Ring bulan depan sebagai penanda aras buat Aprilia, biarpun ia bukan kegemaran pasukannya, namun keyakinan tinggi melihat keupayaan jentera menyesuaikan diri di pelbagai jenis litar. – AGENSI