PETALING JAYA – Mantan Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dikurniakan pingat Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia-Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulangtahun Hari Keputeraan yang ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Pengurniaan ini mengiktiraf sumbangan cemerlang Christopher dalam bidang media, komunikasi, pengurusan acara dan pentadbiran sukan.
Kepimpinan Christopher turut melayakkannya memegang peranan penting bersama Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai Konsultan Media sekali gus mewakili negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Antara rekod cemerlang tokoh bola sepak berpengalaman itu adalah berkhidmat sebagai Pegawai Media di kejohanan berprestij, Piala Dunia 2018 di Rusia dan edisi 2022 di Qatar.
Beliau juga memegang peranan signifikan di Piala Dunia FIFA B-17 India 2017, perlawanan akhir Piala Dunia FIFA B-17 Indonesia 2023, serta perlawanan akhir Piala Asia 2023 di Qatar.
Christopher turut menjadi Ahli Jawatankuasa Media AFC sejak tahun 2019 hingga Jun lepas.
Portfolio hebat Christopher turut merangkumi pengurusan operasi media di Piala Asia 2023, Piala Asia 2015, Piala Asia 2019, Piala Emas Concacaf 2019, serta beberapa edisi Liga Juara-Juara Asia (2021, 2022, 2023, dan 2024).
Christopher kini menggalas tugas selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) ShekhinahPR dan telah membantu agensi perhubungan awam dan komunikasi strategi itu meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang berprestij.- KOSMO! ONLINE