PEMBERIAN 'one off' sebanyak RM100 oleh kerajaan bakal dinikmati seramai 22 juta rakyat Malaysia. - GAMBAR HIASAN

RM100, antara syukur dan sinis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA hari lalu kerajaan mengumumkan bantuan tunai segera sebanyak RM100 kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan sebahagian M40. Kali ini semua rakyat berusia 18 tahun ke atas layak menerima hadiah tersebut.

Duit itu semacam duit raya meraikan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-68 tahun 31 Ogos nanti.

Seperti biasa, pengumuman begitu mencetuskan dua reaksi, syukur dan sinis. Nakalnya, tidak sampai 24 jam, lirik lagu ‘improvisasi’, Nur Nilam Sari yang ditukar kepada Pinjam Seratus Nur Nilam Sari kembali berputar dalam media sosial, tetapi kali ini diberi tambahan kapsyen, ‘Lepas ini tak ada dah yang nak pinjam RM100, sebab semua dah dapat, hahahaha’.

Begitulah cara khalayak respons terhadap keprihatinan pemerintah negara. Realiti dan persepsinya, cukupkah bantuan itu dan apa sebenarnya yang kita perlukan?

Adakah itu satu suntikan tunai atau sekadar menampal plaster pada luka dalam daging.

Jumlah RM100 mungkin cukuplah untuk membeli sekampit beras, sepapan telur, minyak masak dan roti untuk beberapa hari. Itu isyarat kerajaan mendengar keluhan rakyat saat berdepam segalanya mahal.

Wang jika secara fizikal berjumlah dua keping not RM50 itu bagaimanapun tidak akan mengubah walau seinci kedudukan ekonomi rakyat.

Wang itu bukan reformasi atau solusi sebaliknya respons (reaksi) kerajaan yang selama ini dituding tidak memberi banyak bantuan kepada pembayar cukai, yang dibantu asyik golongan berpendapatan rendah dan hidup susah.

Warga miskin bandar yang selama ini merungut, selalu tidak dapat apa-apa, tetPapi kali ini dapat juga merasa. Bak kata orang Kelantan, bolehlah ‘wat raso-raso’. Daripada langsung tiada, lebih baik ada.

Realitinya kos hidup setiap hari melebihi 100 kali lipat dengan duit sekali bayar itu. Dengan kenaikan kos makanan, pengangkutan, yuran pendidikan dan utiliti, RM100 boleh lenyap sekelip mata atau dalam satu lawatan ke pasar raya.

Duit itu bukan penyelesaian masalah kenaikan harga barang atau gaji statik bertahun-tahun.

Lebih malang, janganlah bantuan sekali jalan itu sekadar ilusi kebajikan atau gula-gula beli jiwa yang secara psikologi memberi satu perasaan antara harapan dan ketagihan untuk seketika kita berasa seronok dan disokong, dalam masa sama menanam rasa pasrah agar tidak menuntut lebih. Benarkah?

Sebenarnya, untuk warga pekerja yang mengharap gaji bulanan, kita hanya mahukan sesuatu bersifat konsisten, duit gaji yang cukup selaras kemahiran, pengalaman dan beban kerja demi kelestarian keperluan hidup, sedikit untuk menikmati kegembiraan berlibur atau ‘healing’ bersama keluarga dan simpanan kebajikan masa depan.

Namun, untuk memperoleh semua itu bekerjalah kita sampai cukup usia sehingga dapat menikmati duit simpanan hari tua. Jika tutup mata sebelum waktu, waris terdekatlah mendapat manfaat titik peluh kita selama hidup. Apa pun tak mengapalah, bajet hidup selepas Ogos nanti jimat RM100.

Terfikir, apakah dilakukan selebriti kaya-raya atau orang kenamaan dengan duit RM100 nanti? Buat beli keperluan, bersedekah atau dibiarkan sampai tamat tempoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN