Pemberian ‘one off’ sebanyak RM100 menerusi Sara bakal dinikmati seramai 22 juta rakyat Malaysia melibatkan peruntukan RM2 bilion. – GAMBAR HIASAN

Terima kasih, golongan M40 pun dapat ‘habuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengumuman inisiatif kebajikan rakyat terma­suk bantuan ‘one-off’ sebanyak RM100 dan penurunan harga petrol RON95 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan lebih adil apabila semua pihak terma­suk golongan pertengahan (M40) menikmati bantuan kerajaan.

Malah, pengumuman tersebut juga disifatkan tepat dan satu penghargaan kepada rakyat dalam mengurangkan kos sara hidup yang semakin tidak menentu ketika ini.

Di Kuala Terengganu, peniaga, Sarinah Said, 56, melahirkan rasa syukur dan terima kasih apabila golongan M40 sepertinya tidak disisihkan daripada mendapat bantuan kerajaan.

Katanya, sebelum ini golo­ngan M40 sering rasa terhimpit apabila kurang menerima manfaat bantuan kerajaan biarpun turut sama terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 nampak tidak besar tetapi amat membantu meringankan beban membeli barangan keperluan.

“Penurunan harga petrol RON95 pula menjimatkan per­belanjaan bahan api bulanan yang boleh disalurkan untuk ke­perluan lain keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Nurul Atikah Alias, 26, berkata, penurunan kadar bil elektrik juga memberi manfaat secara langsung kepada keluarganya.

“Ia bukti komitmen kerajaan untuk terus menjaga kebajikan dengan membantu mengimbangi tekanan ekonomi rakyat. Harap usaha sebegini dapat berterusan dan keluhan rakyat terus didengari pemimpin,” ujarnya.

Di Sungai Petani, penjawat awam, Ubaidullah Kamaruzzaman, 37, berkata, bantuan RM100 itu amat dialu-alukan terutama­nya dalam keadaan ekonomi semasa yang menekan rakyat daripada pelbagai lapisan.

“Selalunya bantuan lebih tertumpu kepada B40. Bila semua dewasa dapat, termasuk M40, kami rasa lebih adil. RM100 itu saya boleh guna untuk beli ke­perluan asas seperti minyak masak, sabun dan sebagainya. Bagi saya, setiap ringgit sekarang sangat bermakna,” katanya.

Menurutnya, pendekatan kerajaan yang menyalurkan bantuan terus kepada individu dewasa memberi impak lebih meluas dan bersifat inklusif.

Bagi penjawat awam, Farihah Md. Zain, 35, berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja meringankan beban rak­yat, malah me­nyampaikan mesej kebersamaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Ia mungkin bukan jumlah yang besar, tetapi cukup untuk menunjukkan kerajaan menghargai rakyat. Bantuan ini buat kami rasa diberi perhatian,” ujarnya.

Dalam pada itu di Shah Alam, seorang juruteknik, Luqmanul Haqim, 28, memaklumkan dia memperuntukkan sebanyak RM700 sebulan bagi penggunaan petrol keretanya untuk urusan kerja harian.

Katanya, penurunan harga RON95 itu sedikit sebanyak me­ngurangkan kos sara hidup tambahan baharu tujuh bulan mendirikan rumah tangga.

“Walaupun penurunan tidak begitu besar, namun ia tetap turun. Setiap sen itu amat bernilai dan sudah tentu dapat membantu berjimat ulang alik.

“Kalau ikut kiraan mungkin lebih RM150 dapat dikurangkan perbelanjaan berbanding harga RON95 ketika ini pada nilai RM2.05 seliter,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi seorang penghantar ­makanan, Syahiruddin Suhaimi, 25, pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri mengotakan janji dan merealisasikan apa yang dikatakan sebelum ini.

Ujarnya, dia membelanjakan lebih RM400 pada setiap bulan bagi kos petrol untuk penghantaran barang di sekitar daerah ini dan Subang.

“Apa sahaja pengumuman mengenai penurunan tidak kira minyak atau barangan pastinya menggembirakan.

“Cuma, saya harap penguatkuasaan lebih ketat meman­dangkan mesti ada pihak yang cuba menyeleweng RON95 bagi memperoleh untung banyak,” ­katanya.

Sementara itu, di Johor Bahru, seorang penjawat awam, Muhammad Saifulnizam, 26, berkata, penurunan RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter sudah tentu mengurangkan kos perbelanjaan bahan api untuk ulang-alik ke tempat kerja.

“Sebulan saya memperuntukkan sebanyak RM200-RM300 untuk kos minyak ke tempat kerja atau lain-lain lokasi atas arahan kerja.

“Jadi apabila PM umum harga minyak turun, kos perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan sedikit, syukur alhamdulillah, wang lebihan itu boleh digunakan untuk menampung kos per­belanjaan lain termasuk belian barang keperluan harian.

“Malah dengan duit yang ada itu, kita juga boleh simpan duit untuk kecemasan atau sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN