ISTANBUL, Turkiye – Malaysia menetapkan sasaran agar Turkiye melaksanakan pemindahan teknologi pertahanan dalam beberapa bidang menerusi kerjasama perolehan yang dibuat dengan republik berkenaan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbincangan mengenai perkara itu dibuat ketika pertemuannya dengan Presiden Sekretariat Industri Pertahanan (SSB), Prof. Dr. Haluk Görgün semasa Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 hari ini.
Menurut beliau, pemindahan teknologi itu disifatkan sebagai penting dalam usaha membangunkan industri pertahanan yang diterajui oleh syarikat-syarikat tempatan dalam beberapa bidang.
Katanya, bidang-bidang tersebut antaranya merangkumi Combat Management System selain penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikan menyeluruh (MRO) serta Unmanned Aerial System (UAS).
“Jadi, kita telah bersetuju supaya beberapa bidang dipertimbangkan yang mana kita telah mengenal pasti syarikat-syarikat daripada Malaysia yang akan bertemu syarikat Turkiye untuk mereka fikirkan bentuk kolaborasi dan kerjasama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled tiba di Istanbul pada Selasa bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari yang mana antaranya bagi meninjau perkembangan pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pembinaan kapal itu dibuat menerusi perolehan bersama syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) yang berada di bawah kendalian SSB.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam teknologi dan pertahanan termasuklah melibatkan aspek menambah baik serta menaik taraf aset dan infrastruktur.
“Turut dibincangkan adalah berkenaan kapasiti tempatan dan program pemindahan teknologi selari aspirasi negara kita ke arah ‘self-reliance’.
“Selain itu, Malaysia-Turkiye turut menzahirkan komitmen memperkuat hubungan sedia ada yang mana ia dapat dilihat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman perolehan produk pertahanan secara kerajaan kepada kerajaan tahun lalu,” jelasnya.
Kata beliau, pertemuan empat mata itu antara lain turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam mewujudkan hubungan strategik jangka panjang seterusnya memanfaatkan Malaysia dan Turkiye. – KOSMO! ONLINE