KUALA LUMPUR – Cuaca panas melampau yang melanda negara sejak Mei lalu berpunca daripada Monsun Barat Daya dan dijangka berterusan sehingga September ini.
Ahli fizik, Dr. Zamir Mohyedin berkata, fenomena itu bukan sahaja dialami Malaysia, malah turut berlaku di seluruh Asia yang mengalami musim panas bermula Mei hingga September setiap tahun.
“Tanah besar Asia yang panas menyebabkan udara naik ke atas dan wujud tekanan rendah di permukaan. Keadaan ini menarik angin lembap dari laut yang sepatutnya membawa hujan.
“Tetapi Malaysia, khususnya di Pantai Barat, tidak menerima hujan kerana angin lembap tersekat oleh Banjaran Barisan di Sumatera,” katanya dalam hantaran TikTok.
Ujarnya, halangan geografi itu menyebabkan Malaysia hanya menerima angin kering, sekali gus menyebabkan cuaca panas berpanjangan tanpa taburan hujan yang signifikan.
“Negara lain seperti Thailand, India dan Sri Lanka alami hujan lebat hingga banjir, tapi Malaysia hanya terima bahangnya. Sebab itu dari Mei sampai September ini memang sangat panas,” katanya.
Justeru, Dr. Zamir menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan hadkan aktiviti luar sepanjang tempoh berisiko ini.
“Ini bukan isu luar biasa, tapi kesan geografi dan monsun tahunan. Jadi, penting untuk kita faham dan bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.