DHAKA – Sebuah jet pejuang tentera Bangladesh terhempas ke sebuah sekolah di ibu negara, Dhaka semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan lebih 170 yang lain dalam nahas penerbangan paling maut di negara itu bagi tempoh beberapa dekad.
Sebahagian besar daripada mangsa ialah pelajar yang baru sahaja tamat kelas apabila pesawat F-7 BJI buatan China merempuh Sekolah dan Kolej Milestone.
Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian melihat pegawai bomba dan penyelamat mengusung pelajar cedera menggunakan pengusung, manakala anggota tentera membantu membersihkan serpihan.
Kenyataan tentera berkata, 20 orang terbunuh termasuk juruterbang, manakala 171 yang lain cedera apabila jet itu terhempas ekoran kegagalan mekanikal.
Seorang pelajar berusia 18 tahun, Shafiur Rahman Shafi berkata, dia mendengar bunyi letupan besar yang dirasakan seperti gempa bumi.
“Ada dua pesawat pejuang. Tiba-tiba satu daripada dua pesawat itu terhempas di sini (di taman permainan),” katanya kepada AFP.
“Ia menghasilkan ledakan dan berasa seperti gempa bumi. Kemudian ia terbakar,” tambah Shafiur.
Sekolah swasta yang terkenal itu menawarkan pendidikan kepada kanak-kanak daripada peringkat tadika hingga menengah.
“Kebanyakan mangsa yang cedera berusia antara lapan hingga 14 tahun,” kata Pengarah Bersama Institut Pembedahan Plastik dan Pembakaran Kebangsaan Dhaka, Mohammad Maruf Islam.
Menurut pegawai kesihatan dan kebajikan keluarga, Mohammad Sayedur Rahman, sekurang-kurangnya tujuh mayat masih belum dikenal pasti.
Sementara itu, tentera berkata, juruterbang, Leftenan Penerbangan Towkir Islam berada dalam misi latihan rutin apabila jet itu mengalami kegagalan mekanikal.
“Punca sebenar masih dalam siasatan,” kata tentera.
Tambahnya, juruterbang cuba melencongkan pesawat itu dari kawasan padat penduduk namun, walaupun usaha terbaiknya, ia merempuh bangunan sekolah dua tingkat. – AFP