Laporan polis sering dianggap sebagai benteng terakhir keadilan bagi mangsa jenayah termasuk mereka yang memerlukan perlindungan.
Namun, sekiranya laporan itu disalahgunakan untuk tujuan peribadi, kesannya cukup besar kepada individu, masyarakat dan sumber penting negara.
Kes terbaharu membabitkan pempengaruh, Tengku Nizaruddin atau Ija mendedahkan sisi gelap laporan polis palsu yang mencetuskan perdebatan dan kemarahan orang ramai.
Kecewa. Empat hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kekuatan lebih 70 pegawai dan anggota, namun kehilangan lelaki itu hanyalah cerita yang direka.
Disangka lemas dalam sungai di Bukit Kepong rupa-rupanya lari ke Thailand. Lebih malang, adiknya didakwa bersubahat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, siasatan mendedahkan lelaki itu disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya dalam sungai sebelum lari ke negara jiran.
Adakah pelaku fikir sekiranya pencarian tidak menemui sebarang hasil, kes akan ditutup. Pihak berkuasa cukup bijak menafsir segala maklumat menjadi siasatan lengkap.
Bagaimana pula masa dan tenaga pihak berkuasa menjalankan siasatan, kerisauan ahli keluarga yang terlibat dalam operasi pencarian besar-besaran. Kerisauan orang ramai termasuk rakan-rakan. Pencarian di dalam air pelbagai risiko dihadapi.
Kini polis membuka siasatan terhadap pempengaruh dan adiknya mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 kanun sama atas kesalahan bersubahat.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini, seorang jurujual dipenjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Parit Buntar, Perak selepas mengaku salah membuat laporan palsu berhubung penemuan bayi.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) kerana membuat laporan palsu kepada pihak polis.
Sudah tiba masanya kerajaan melihat semula hukuman bagi individu yang membuat laporan palsu. Naikkan tempoh penjara dan denda bagi mengekang perbuatan pihak yang suka ‘merendahkan’ nilai laporan dibuat.
Dua pempengaruh Malaysia yang didakwa membuat kandungan media palsu menyatakan rakan mereka hilang di Bandung, Indonesia sebelum ini berdepan tindakan penjara setahun atau denda RM50,000.
Lebih membimbangkan kes seperti ini membuka pintu kepada penyalahgunaan sistem keadilan dengan laporan sahih mungkin akan diragui dan mangsa sebenar jenayah tidak diberi perhatian sewajarnya berikutan trauma terhadap kes penipuan.
Kes laporan palsu ini membuktikan sistem keadilan tidak boleh dipermainkan, laporan polis adalah tanggungjawab serius setiap orang dan bukannya pentas sandiwara. Semua sepatutnya sedar, bersikap jujur kunci kepada semua permasalahan.














