BENTONG – Penyanyi bersuara emas, Mamat Exists memberi bayangan bakal membuat kemunculan semula secara besar-besaran menerusi dua projek berasingan iaitu konsert solo dan konsert reunion bersama kumpulan legenda, Exists.
Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, perancangan sedang giat dilakukan dan peminat diminta bersabar sementara pihaknya menyelesaikan rundingan bersama label antarabangsa.
“Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan sedang berbincang dengan pihak label antarabangsa untuk projek terbaharu.
“Kalau semuanya dipersetujui, kita akan umumkan dalam satu sidang media rasmi tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Bengkel Evidence-Base Treatment And Rehabilitation Modelities For Substance Use Disorder di Kompleks Pengasih Cinta Manis di sini, semalam.
Tambah penyanyi lagu Untukmu Ibu itu, meskipun perancangan asal untuk melancarkan ‘single’ baharu selepas Aidilfitri tertunda disebabkan beberapa komitmen peribadi, beliau yakin buah tangan terbaharunya akan menemui peminat dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kita memang rancang nak ‘release’ (keluarkan lagu) lepas raya hari itu, tetapi disebabkan kekangan masa dan komitmen lain, ia sedikit lewat. Insya Allah dalam masa terdekat kita akan lancarkan juga,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mamat turut mendedahkan Exists kini turut dalam fasa awal merancang penganjuran konsert reunion, malah tidak menolak kemungkinan akan mengadakan konsert percuma sebagai pemanas badan sebelum acara utama dilaksanakan.
“Untuk Exists, kita ada bincang tentang reunion konsert. Malah mungkin akan ada ‘free concert’ dulu sebagai promosi awal. Jadi peminat boleh datang dan saksikan persembahan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE