fbpx
Ikan sempat mencapai reba, jadi kena bersabar menunggu ia keluar.

Santai pancing di bawah Jambatan Pulau Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kali ini kami bertiga iaitu saya, abang Jeff serta Bob telah merancang satu trip memancing yang singkat dan santai di bawah jambatan Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Lokasi pancingan ini amat istimewa buat kami kerana banyak menyimpan kenangan indah dan dihuni pelbagai spesies ikan.

Baik ikan air masin, payau dan tawar telah berjaya kami pancing di sini sepanjang tahun.

Antaranya, siakap putih, siakap merah, kerapu, jenahak, gelama, kuku, kacang, haruan, toman, patin, tenggalan, udang galah, malah se­barau juga ada.

Lokasi ini unik kerana spesies ikan air masin ‘merajai’ kawasan ini pada hari-hari biasa, manakala spesies ikan air tawar akan datang ke
sini ketika air banjir turun dari hulu pada musim hujan lebat.

Aktiviti memancing di bawah jambatan ini sering kali menjadi pilihan kami kerana teduh, struktur jambatan serta kedalamannya amat sesuai untuk persembunyian ikan pemangsa mengendap makanan yang berupa ikan-ikan kecil dan udang.

Umpan udang hidup
Kebiasaannya, kami memancing dasar di sini dan jika mahukan hasil cepat, kami akan guna umpan udang hidup yang boleh dibeli di bawah jambatan ini dengan harga berpatutan.

Setelah umpan dibeli, kami bertiga mula mendayung bot secara perlahan menuju ke bawah jambatan.

Bagi memastikan ikan tidak lari dari tempat persembunyiannya, segala pergerakan perlulah dilakukan dengan berhati-hati dan perlahan. Maklumlah, kami berada be­tul-betul di atas ‘sarang’ ikan. Sebaik sahaja kami tiba, sauh dijatuhkan dengan perlahan-lahan agar tidak menakutkan ikan.

Apa ditunggu lagi, kami bertiga terus menghulurkan udang hidup dengan harapan akan ada pemangsa yang sudi membahamnya.

Tidak sampai lima minit umpan saya dilabuhkan, ia ditarik ikan. Tapi sayang, ikan siakap merah itu masih lagi baby dan selayaknya dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

Tangkapan itu mengundang gelak ketawa daripada rakan-rakan. Beberapa minit kemudian, sekali lagi umpan saya direntap ikan dan yang naik baby ikan tetanda pula. Ini terus membuatkan suasana persekitaran bingit dengan hilai tawa mereka.

Tangkapan trip yang lepas, ikan kuku biasanya dipancing pada musim tengkujuh.

Saya yang menjadi mangsa, sebaiknya mendiamkan diri dan menunggu peluang ‘membalas dendam’. Tidak menunggu lama, joran abang Jeff tiba-tiba menyentap kuat.

Ikan yang terkena mata pancingnya terus melakukan ‘larian’, tetapi ikan yang terkena mata kail itu naik ke permukaan air bukan membenam ke bawah.

Apabila sudah berpengalaman, abang Jeff dapat meneka ikan yang memakan umpannya.

“Kalau macam ini caranya lari, tidak lain tidak bukan, ikan se­nangin,” tekaan abang Jeff tepat.

Apa lagi gurauan ‘bahan membahan’ sudah pasti akan terbit. Bob menjadi mangsa kami kerana masih lagi gagal memperoleh hasil dan terpaksa menahan telinga dengan gurauan kami.

Bob juara
Selepas itu, tiada lagi sambaran-sambaran kuat daripada penghuni jambatan ini, sebaliknya ikan buntal pula yang bermaharajalela mengutis umpan. Sesi memancing tetap diteruskan kerana ikan bukanlah target utama.

Yang penting, kami dapat satu masa senggang bersama-sama berborak dan berbincang pelbagai perkara. Bukan senang hendak berkumpul kerana masing-masing sibuk dengan hal peribadi pada hari-hari biasa.

Dalam pada kami diserang buntal, tiba-tiba joran Bob direntap kuat. Mujurlah jorannya tidak terjunam ke dalam sungai. Tergo­poh-gapah dia melayannya, tetapi kali ini ikan betul-betul pantas dan sempat menerobos ke dalam reba.

Bob masih mengepam jorannya dengan kuat. Melihat perbuatannya itu, saya menyuruh dia berhenti memaksa ikan keluar dan melonggarkan sedikit tegangan kekili.

Kebiasaannya, tip ini menjadi kerana apabila terasa tiada lagi tekanan, ikan selalunya akan keluar dari reba.

Ternyata ia menjadi, ikan keluar dari reba dan Bob terus menariknya dengan cepat. Ikan itu berjaya ditewaskan oleh Bob. Rupa-rupanya, ia adalah ikan kerapu seberat 500 gram, lantas menobatkan Bob sebagai juara trip pada kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN