TANGKAK – Perasaan teruja seorang suri rumah untuk mendapatkan hadiah cabutan dalam aplikasi TikTok bertukar duka apabila terpaksa berputih mata wang simpanan RM26,060 kena kebas sindiket penipuan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib, pihak polis menerima satu laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun semalam.
“Pada awalnya, mangsa berminat untuk menyertai peraduan cabutan bertuah ini apabila melihat satu iklan di dalam aplikasi di TikTok yang menjanjikan keuntungan ratusan ribu ringgit di dalam aplikasi berkenaan.
“Suspek kemudian telah berjaya mempengaruhi mangsa dengan mengarahkannya untuk berhubung melalui satu nombor ‘WhatsApp’ yang diberikan.

“Di dalam kes ini, mangsa telah melakukan 12 transaksi secara berperingkat bermula dari 8 Julai sehingga 15 Julai 2025 ke dalam enam akaun berbeza yang disyaki ‘mule account’.
“Suspek telah dikenal pasti, namun tangkapan masih belum dibuat kerana perlu melengkapkan proses siasatan dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Roslan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda. – KOSMO! ONLINE