BESUT – Seorang wanita diberkas polis kerana disyaki menipu seorang remaja perempuan sehingga sanggup menyerahkan barangan kemas ibunya bernilai RM140,000 baru-baru ini.
Suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan pada pukul 2.30 petang, semalam bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, wanita itu disyaki anggota sindiket penipuan yang menerima barangan kemas tersebut daripada remaja berusia 18 tahun berkenaan.
“Mangsa mendakwa dihubungi dua individu lain masing-masing mendakwa kononnya pegawai sebuah syarikat e-dompet dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada 1 Julai lalu.
“Dia didakwa kononnya maklumat peribadinya disalah guna bagi kes penipuan dan penggubah wang haram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Md. Sani berkata, remaja perempuan itu yang ketakutan telah menyerahkan barangan kemas ibunya kepada suspek di sebuah pasar raya di daerah ini pada keesokan harinya.
Beliau berkata, suspek mendakwa kononnya barangan itu terpaksa disimpan bagi tujuan forensik dan bayaran RM28,000 perlu dibayar mangsa bagi menebusnya.
“Mangsa menyedari tertipu enggan menuruti arahan tersebut sebaliknya membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Besut di sini pada Sabtu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE