PETALING JAYA – Persaingan dalam arena telefon boleh lipat (foldable) ultra-nipis semakin mencapai kemuncaknya dengan pelancaran HONOR Magic V5, peranti flagship daripada HONOR yang menetapkan penanda aras baharu dari segi reka bentuk, keupayaan bateri, dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam pasaran yang semakin kompetitif, kehadiran Magic V5 bukan sahaja memperkukuh kedudukan HONOR sebagai inovator utama dalam kategori foldable, malah memberi cabaran serius kepada pesaing utamanya, Samsung Galaxy Z Fold7 yang turut dilancarkan dalam tempoh yang hampir sama.
Ketika kedua-dua peranti menyasarkan pengguna premium dan golongan profesional, HONOR hadir dengan strategi agresif dari segi harga, teknologi dan pengalaman pengguna, menjadikan Magic V5 sebagai pesaing utama dalam pasaran foldable 2025.

Perbezaan 0.1mm
HONOR tampil lebih yakin apabila memperkenalkan Magic V5 sebagai telefon boleh lipat paling nipis di dunia, hanya setebal 8.8 milimeter (mm) apabila dilipat, mengatasi Samsung Galaxy Z Fold7 dengan ketebalan 8.9 milimeter.
Perbezaan 0.1mm mungkin tampak kecil di atas kertas, namun bagi jurutera dan pengguna yang arif, ia signifikan dalam pengalaman penggunaan harian, mencerminkan kehebatan kejuruteraan dan penekanan terhadap setiap perincian.
Dengan berat 217 gram, Magic V5 menawarkan keseimbangan sempurna antara keanggunan dan ketahanan.
Apa yang lebih mengagumkan ialah HONOR berjaya memuatkan bateri berkapasiti besar, sistem kamera canggih dan sistem penyejukan graphene berbilang lapisan dalam kerangka ultra-nipis.
Magic V5 dikuasakan oleh bateri silikon-karbon berkapasiti 5,820mAh yang terbesar dalam kelasnya, membolehkan pengguna menikmati penggunaan berat pada rangkaian 5G sehingga 15 jam, jauh mengatasi ketahanan bateri Fold7 sekitar 10 hingga 11 jam.
Ia juga menyokong pengecasan pantas 66 watt, membolehkan 50 peratus bateri dicaj dalam masa hanya 15 minit.

Satu lagi kelebihan ketara HONOR Magic V5 adalah keupayaan AI yang benar-benar praktikal.
Hasil kerjasama strategik bersama Google, HONOR memanfaatkan Gemini Live AI, sistem pembantu maya yang menyokong penggunaan tiga aplikasi AI serentak melalui sistem multitasking tiga tetingkap.
Dalam suasana mesyuarat misalnya, tetingkap sebelah kiri menampilkan HONOR Notes yang tidak hanya merakam kandungan mesyuarat dalam masa sebenar, malah mampu membezakan suara setiap peserta dan menyusun minit mesyuarat.
Tetingkap tengah pula mengekalkan aplikasi komunikasi untuk interaksi secara langsung dengan rakan sekerja, manakala pembantu Gemini Live pada tetingkap kiri bertindak sebagai setiausaha pintar.
Selepas mesyuarat, AI secara automatik mengekstrak tiga hingga lima keputusan dan Tindakan utama, meningkatkan kecekapan mesyuarat dengan ketara.
Samsung Galaxy Z Fold7 walaupun turut menampilkan AI canggih melalui Galaxy AI 2.0, ia masih mengekalkan pendekatan yang lebih konservatif dalam sinergi multitasking dan integrasi ekosistem.
Ini berbeza dengan pengalaman AI HONOR Magic V5 yang lebih bersifat terbuka dan praktikal.

Tanpa kompromi
Dari segi paparan, Magic V5 menampilkan skrin dalaman bersaiz 7.95 inci dengan resolusi tinggi 2,340 x 2,156, dan kecerahan mencecah 5,000 nits.
Ia turut dilengkapi dengan teknologi 4,320Hz PWM dimming yang memberikan perlindungan mata luar biasa, jauh lebih tinggi berbanding standard 1,440Hz pada kebanyakan telefon pintar.
Ciri ini menjadikan Magic V5 ideal untuk penggunaan jangka panjang, termasuk membaca dan menonton video dalam keadaan pencahayaan yang berubah-ubah.
Sistem kamera HONOR juga mengubah persepsi bahawa telefon lipat mesti berkompromi dari segi fotografi.
Dengan kamera utama 50 megapiksel (MP) yang menggunakan sensor besar 1/1.12 inci, lensa ultra-lebar 50MP, dan lensa periskop 64MP, pengguna dapat merakam gambar berkualiti tinggi setanding telefon flagship biasa.
Semua ini dimuatkan dalam modul kamera hanya setebal 3.2mm, terima kasih kepada teknologi folded light path yang inovatif.
Dengan kesemua ciri-ciri menarik di atas, perkara yang menjadikan HONOR Magic V5 lebih menarik ialah harganya.
Pada tawaran RM6,999 untuk model 512 gigabait (GB) dengan empat pilihan warna iaitu Dawn Gold, Ivory White, Silk Brown dan Black, HONOR mengekalkan harga generasi sebelumnya, walaupun hadir dengan peningkatan besar.
Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy Z Fold7 dijual pada harga RM7,799 untuk model 256GB dan mencecah RM8,399 untuk versi 512GB.

Untuk pra-tempahan bermula hari ini sehingga 24 Julai 2025, pembeli akan menerima hadiah percuma bernilai RM3,497, yang terdiri daripada speaker Harman Kardon Onyx Studio 9, perlindungan retak selama setahun serta jaminan kualiti selama dua tahun. Pembeli awal turut ditawarkan rebat ekstra RM400 dengan trade-in.
Pelancaran HONOR Magic V5 bukan sekadar memperkenalkan peranti baharu, ia menandakan satu anjakan paradigma dalam industri telefon pintar.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.honor.com/my. – KOSMO! ONLINE