PETALING JAYA – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin terpinggir di Sabah kerana dianggap sebagai parti yang sering mengkhianati rakan politik sendiri.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak sebarang kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas alasan GRS pernah ‘mengkhianati’ PN.
“Sebenarnya Bersatu yang lebih kuat mengkhianati rakan kongsi.
“Sebab itu di Sabah, tidak ada parti yang mahu berkawan dengan Bersatu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Puad turut membangkitkan episod Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 apabila Bersatu didakwa menyokong calon bebas di beberapa kerusi, termasuk di DUN Kemabong, sekali gus menyebabkan UMNO menjadi mangsa sabotaj.
“Muhyiddin sendiri pernah mengkhianati Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi Langkah Sheraton. Maka siapa lagi yang mahu berkawan dengan Bersatu, kecuali Pas?” soalnya.
Menurut beliau, semua pemimpin utama dalam Bersatu memiliki “DNA pengkhianat” dan perkara itu menjadi punca utama kenapa parti itu tidak diterima dalam kalangan parti-parti lain, khususnya di Sabah. – KOSMO! ONLINE.