fbpx
PELBAGAI peristiwa seram dan aneh berlaku dalam hidup Amira kerana rumahnya terletak bersebelah perkampungan bunian. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Memori seram berjiran dengan kampung bunian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAHAGIAN masyarakat di negara ini berpeluang merasai pengalaman membesar dalam kampung yang terletak di kawasan pedalaman. Kehidupan tersebut juga dirasai oleh Amira (bukan nama sebenar) yang membesar bersama keluarganya di sebuah kampung di Pahang.

Di sebalik keindahan kampung yang terletak jauh dari hiruk-pikuk kota, rumah Amira berada paling dekat dengan hutan dan terpisah dari kediaman lain.

“Banyak kenangan saya membesar di kampung dan semuanya masih menggamit memori. Kadang-kadang, ia membuatkan saya rindu untuk kembali ke masa lalu.

“Namun dalam kenangan itu, ada satu rahsia yang penduduk di kampung kami saja tahu. Rahsianya, kampung kami berjiran dengan perkampungan makhluk yang tidak terlihat iaitu bunian. Rumah saya merupakan kawasan paling hampir dengan perkampungan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar itu,” katanya kepada CitaRasa.

Tambah Amira, semasa kecil, dia tidak pernah tahu mengenai perkampungan bunian tersebut.

Selepas memasuki sekolah menengah, baru neneknya terbuka untuk bercerita mengenai perkara itu.

Kata Amira, memandangkan rumahnya paling dekat atau berjiran dengan kampung bunian, dia melalui banyak insiden aneh dan menyeramkan.

Antara yang masih diingatinya sehingga kini adalah bunyi pergerakan pada waktu malam seperti tapak kaki orang ramai berjalan, orang menggunakan tongkat, wanita menangis dan orang mencangkul tanah.

“Biasanya pada waktu tengah malam, saya mendengar bunyi-bunyi aneh ini.

“Nenek pernah pesan supaya mengabaikan saja bunyi itu kerana tepi rumah saya merupakan laluan mereka (bunian).

“Bunian tidak pernah mengganggu kami, namun kadang-kadang saya terlihat kelibat orang berbaju putih berdiri di sekitar rumah,” ujarnya.

Kongsi Amira, pernah suatu ketika, adiknya sering dilihat bercakap bersendirian di dalam rumah.

Awalnya, Amira menyangka adiknya hanya berimaginasi sedang bercakap dengan rakannya.

Namun selepas mendapatkan khidmat orang arif, rupanya adik Amira sedang berkawan dengan anak bunian kerana hijabnya terbuka.

Tidak mahu adiknya terus hanyut berkawan dengan bunian kerana khuatir dibawa ke kampung mereka, keluarga Amira terus mendapatkan rawatan tradisional.

Keluarga Amira ingin menutup kembali hijab mata adiknya serta ‘memagar’ kawasan rumah agar anak bunian tidak boleh masuk tanpa mendapat keizinan.

Pernah juga berlaku peristiwa aneh iaitu kehadiran seekor ayam putih tanpa sedikit cela di dalam reban kecil yang terletak di belakang rumah Amira.

“Kejadian ini berlaku ketika saya tingkatan dua. 

“Malam sebelum ayam itu muncul di dalam reban, saya ada terdengar bunyi orang memijak zink atap reban.

“Selepas  diperiksa pada keesokan harinya, saya ternampak kelibat ayam berwarna putih bersih itu. 

“Ayam itu hanya berada di situ selama seminggu, kemudian ia hilang. Nenek beritahu, ayam putih itu milik bunian yang ditumpang sementara di reban kami oleh pemiliknya,” kongsinya.

Kadangkala, ada aktiviti bunian yang didengar menjadi satu petunjuk, misalnya suara wanita menangis merupakan tanda bakal ada kematian di kampungnya .

Kata Amira, banyak lagi peristiwa seram dan aneh berlaku sepanjang hidupnya, namun dia sudah terbiasa dengan keadaan itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN