ALOR SETAR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan terdapat beberapa kes golongan gelandangan dan penagih dadah dipercayai menjual MyKad mereka kepada individu lain bagi mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup.
JPN dalam satu kenyataan berkata, MyKad berkenaan dijual pada harga antara RM250 hingga RM1,000 sekeping.
Individu tertentu dipercayai daripada sindiket telah membeli MyKad milik gelandangan dan penagih dadah untuk dijual kepada warga asing atau orang perseorangan yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Mana-mana individu yang dikesan menjual MyKad boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan 25(1)(fa) dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Ujarnya, JPN sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Katanya, melalui pendekatan bersepadu dan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain, pelbagai operasi telah dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan ke atas individu yang disyaki memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri secara tidak sah.
“Selain rampasan MyKad palsu dalam operasi dilakukan, JPN turut merampas peralatan digunakan untuk membuat kad pengenalan palsu, resit permohonan palsu selain sijil kelahiran milik orang lain dan dokumen pengenalan sementara (KPPK 09) dan MyPR palsu,” katanya.
JPN memaklumkan, MyKad yang dikeluarkan pihaknya mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi seperti cetakan hologram yang mengandungi imej bercorak holografik seperti lambang Jata Negara yang sukar ditiru.
Katanya, teks timbul (embossed text) di mana nama dan nombor kad dicetak secara timbul bagi memberi kesan sentuhan yang boleh dirasa.
“Gambar pemilik kad yang dicetak terus di atas kad menggunakan teknologi dye sublimation, tidak boleh ditanggalkan atau ditukar dan cetakan ultraviolet (UV) yang mana elemen tertentu hanya boleh dilihat di bawah cahaya UV.
“Selain itu, terdapat cip pintar (smart chip) yang mengandungi maklumat peribadi dan data biometrik (cap jari) dengan maklumat tersebut hanya boleh diakses oleh pegawai JPN atau agensi berkaitan,” katanya.
Berdasarkan ciri-ciri itu, JPN menyatakan bahawa sebarang percubaan untuk memalsukan MyKad menjadi sangat sukar dan berisiko tinggi untuk dikesan.
Walaupun terdapat segelintir pihak yang cuba meniru bentuk fizikal MyKad, kebiasaannya kad palsu hanya menyerupai luaran dan tidak mempunyai ciri keselamatan dalaman seperti cip yang sah, data biometrik yang sahih atau elemen keselamatan tersembunyi.
Dalam kebanyakan kes, MyKad palsu boleh dikesan melalui pemeriksaan terperinci menggunakan peralatan dimiliki JPN dan agensi penguatkuasaan lain.
Justeru, JPN meminta semua pihak melakukan semak silang dengan pihaknya jika ragu dengan MyKad yang dikemukakan mana-mana individu termasuk pemohon kerja atau mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan.
Kosmo! semalam melaporkan, sebanyak 350 kes penyalahgunaan MyKad palsu dan penggunaan MyKad milik orang lain di seluruh negara direkodkan sejak 2020 hingga 15 April lalu.
Warga asing yang membeli MyKad palsu daripada sindiket dengan harga sehingga RM10,000 sekeping turut menggunakan kad pengenalan itu untuk memohon zakat dan pelbagai jenis bantuan kerajaan.
















