ALOR SETAR – Warga asing yang membeli MyKad palsu daripada sindiket dengan harga sehingga RM10,000 sekeping turut menggunakan kad pengenalan itu untuk mendapatkan zakat dan pelbagai jenis bantuan kerajaan.
Dengan memiliki MyKad palsu, mereka juga dapat menikmati rawatan percuma di hospital dan klinik kerajaan selain mudah mendapat peluang pekerjaan.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 350 kes penyalahgunaan MyKad palsu dan penggunaan MyKad milik orang lain di seluruh negara direkodkan sejak 2020 hingga 15 April lalu.
Berdasarkan data JPN, kes itu membabitkan 242 kes penyalahgunaan MyKad palsu dan 108 kes penggunaan MyKad milik orang lain yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Warga asing yang paling banyak melakukan kesalahan itu dari Filipina dan Indonesia, masing-masing merekodkan 169 dan 149 daripada keseluruhan kes tersebut.
Ia diikuti 11 rakyat tempatan, tidak diketahui negara (9), Thailand (3), Pakistan (3), India (2), Myanmar (2), Vietnam (1) dan Singapura (1).
“Hasil siasatan yang dilakukan JPN secara umumnya mendapati MyKad palsu diperoleh daripada sindiket dan dibeli pada harga antara RM30 hingga RM10,000 (sekeping),” katanya.
Sementara itu, terdapat beberapa modus operandi (MO) pemalsuan MyKad yang pernah ditumpaskan JPN dan salah satunya kad tiruan berkualiti tinggi yang mana kad tersebut hampir menyerupai MyKad tulen dari segi fizikal seperti warna, saiz dan reka bentuk.
Bahan seperti PVC berkualiti tinggi dan cetak imbasan laser (laser engraving) digunakan untuk meniru ciri keselamatan, namun cip tidak berfungsi kerana tidak mengandungi data biometrik sah.
MyKad palsu seperti itu dapat dikesan melalui pemeriksaan menggunakan peralatan JPN.
Sementara MO kedua adalah kad plastik biasa yang dilaminasi merujuk kepada MyKad palsu hanya dengan cetakan warna pada kertas atau plastik biasa yang kemudian dilaminasi.
“Kebiasaannya ia digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk kegunaan harian seperti melepasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan tanpa peralatan khusus.
“MyKad palsu itu sangat mudah dikenal pasti kerana tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kualiti cetakan yang rendah,” kata kenyataan itu.
Menurut JPN, MO ketiga iaitu MyKad tulen yang hilang atau dicuri dan kemudian diubah suai.
Katanya, maklumat pada kad seperti nama, gambar atau nombor MyKad diubah suai menggunakan teknik pemadaman laser atau penampalan
“Cip mengandungi maklumat tulen tetapi data tidak sepadan dengan pemilik ‘palsu’. MyKad sebegini akan dapat dikesan melalui semakan sistem biometrik JPN melibatkan cap jari dan wajah,” katanya.
JPN mendedahkan, penyalahgunaan MyKad palsu kebiasaannya untuk melepasi sekatan dan pemeriksaan pihak berkuasa iaitu digunakan PATI untuk menyamar sebagai warganegara Malaysia bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Katanya, ia juga bagi mendapat pekerjaan dan terdapat kes tangkapan oleh JPN di mana warga asing terbabit menggunakannya untuk memohon kerja terutama dalam sektor tidak formal seperti buruh binaan, kilang, restoran dan ladang.
“Majikan dikatakan tidak menyemak ketulenan dokumen secara menyeluruh seterusnya membolehkan mereka ‘lulus’ sebagai warganegara dan diterima bekerja,” katanya.
JPN turut memaklumkan MyKad palsu juga digunakan untuk membuat pendaftaran kad prabayar atau peranti komunikasi iaitu bagi membeli nombor telefon prabayar secara tidak sah.
“Ada juga yang menggunakan MyKad palsu untuk mendapatkan bantuan sara hidup seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
















