PUTRAJAYA – Malaysia Book of Records (MBOR) menyifatkan pencapaian pelari ultra, Noor Ainun Yeop Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Kak Tutu, sebagai satu rekod luar biasa yang mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencabar keupayaan diri dalam bidang sukan lasak.
Menurut wakil MBOR, Jwan Heah, rekod menamatkan cabaran larian ultra ekstrem Coast to Coast sejauh 444 kilometer (km) dari Lumut, Perak ke Bachok, Kelantan yang dilakar Kak Tutu amat mengagumkan dan layak mendapat pengiktirafan nasional.
“Pencapaian Kak Tutu memang luar biasa. Ini bukan jarak biasa, 444 kilometer (km) adalah sesuatu yang sangat mencabar.
“Sebagai wakil Malaysia Book of Records, matlamat kami ialah untuk menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia dan saya percaya pencapaian ini benar-benar memberi inspirasi,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada hari ini.
Tambah Jwan, pihak MBOR telah melakukan pemantauan rapi sepanjang cabaran itu berlangsung bagi memastikan rekod tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Kami memantau usahanya secara langsung melalui video, strava serta rakaman masa nyata. Terdapat juga syarat masa rehat tertentu yang perlu dipatuhi sepanjang larian,” katanya lagi.
Kejayaan luar biasa itu melayakkan Kak Tutu menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR), yang disampaikan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Sementara itu, MBOR turut menyatakan bahawa pencapaian seperti ini masih jarang berlaku dalam kalangan atlet tempatan dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil mencabar keupayaan diri dalam bidang larian ekstrem, renang mahupun sukan lasak lain.
“Malaysia masih kekurangan pencapaian rekod sebegini. Kami percaya ramai atlet negara yang berpotensi untuk mencipta pencapaian luar biasa, dan kejayaan Ainun ini diharap menjadi inspirasi untuk lebih ramai mencabar kemampuan diri mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE