KUALA LUMPUR – “Kami menentang tarif yang tidak munasabah,” tegas Menteri Luar China, Wang Yi berhubung tarif yang dikatakan tidak munasabah dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Reaksi ringkas tersebut diberikan oleh Wang Yi sewaktu beliau melewati pangamal media yang sedang menunggu di ruang legar hadapan bilik Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Pada masa itu, beliau sedang berjalan menuju ke lokasi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Tiga ke-26.
Wang Yi juga hanya tersenyum tanpa memberikan komen ketika ditanya berhubung pertemuan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Robio.
Media antarabangsa melaporkan, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa levi keselamatan negara sebanyak 50 peratus ke atas import tembaga logam penting bagi teknologi tenaga hijau, akan mula dikuatkuasakan bermula 1 Ogos ini.
Pengumuman itu turut menyaksikan kenaikan mendadak tarif perdagangan ke atas beberapa negara rakan dagang AS, selepas penangguhan hampir semua tarif yang diumumkan pada April lalu kecuali kadar 10 peratus.
Penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada negara-negara terbabit untuk merundingkan semula perjanjian perdagangan dengan Washington.
China kekal sebagai sasaran utama, dengan beberapa produk dikenakan tarif melebihi 100 peratus.
Negara itu diberikan tempoh sehingga 12 Ogos untuk mencapai persetujuan bersama Rumah Putih, bagi mengelakkan pelaksanaan semula sekatan tambahan yang pernah dikenakan dalam pertukaran tarif balas pada April dan Mei lalu. – KOSMO! ONLINE