JERLUN – Tiada apa yang mampu diluahkan Puteri Qisya Nur Izzat, 12, selain perasaan rindu yang terlalu mendalam kepada seluruh ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi di Sungai Korok, Jitra dekat sini kelmarin.
Anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, itu mengakui, dia perlu kuat untuk melalui kehidupan ini tanpa keluarga di sisi terutamanya dalam soal persekolahan.
“Saya rapat dengan semua adik kerana bantu umi jaga mereka, memang sangat rindu,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Dalam kejadian kelmarin, Qisya yang merupakan anak tunggal menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapanya ditemukan lemas di dalam kereta yang terjunam ke dalam sungai.
Turut lemas ialah empat adiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Menurut Qisya, dia sangat berterima kasih kepada ahli keluarga lain termasuk rakan-rakan dan guru kerana sentiasa berada di sisinya untuk memberi sokongan.
“Ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat, mereka minta Qisya sentiasa doakan arwah umi dan walid.
“Mereka juga kata Qisya anak solehah, umi dan walid tunggu di sana,” jelasnya.
Katanya lagi, meskipun masih bersedih, dia perlu terus kuat untuk meneruskan kehidupan termasuk menyambung persekolahan seperti biasa.
“Saya memang bercuti-cuti untuk jadi juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Saya akan ingat pesanan umi dan walid supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” katanya.
Tambahnya, dia juga akan sentiasa ingat dengan pesanan arwah ibu bapa supaya menjadi anak yang solehah.
Dalam pada itu, Roswati Zainol, 52, berkata, Qisya yang merupakan cucu sulungnya itu dilihat sangat tabah dan cuba menerima hakikat pemergian ibu bapa dan empat adiknya.
“Qisya semalam (kelmarin) nampak kuat tapi hari ini (semalam) nampak sugul. Saya minta dia lepaskan perasaan dan menangis di bahu tok umi
“Kakak (Qisya) kuat, tok umi (Roswati) tak kuat nak tengok jenazah. Saya hanya mampu tengok jenazah menantu dan cucu-cucu, jasad anak (Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, saya tak sanggup (tengok).
“Qisya juga kuat sebab dia boleh cerita kepada saya mengenai keadaan umi dan walidnya kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang di sini semalam.
Katanya, dia meminta Qisya melepaskan perasaan kerana bimbang nanti dia akan sakit.
“Saya nampak dia tahan perasaan dan tidak menangis, dia genggam tangan sendiri. Qisya mula menunjukkan perasaan sebenarnya pada pengebumian ibu bapa dan empat adiknya malam tadi (kelmarin),” katanya.
Menurutnya, Qisya seorang cucu yang baik dan sentiasa membantu menjaga empat adiknya.
Ketika ditanya tentang urusan menjaga Putri Qisya selepas ini, Roswati berkata, ia terpulang kepada keputusan cucunya itu.
“Saya tidak paksa dan tak suruh, ikut rasa hati dia dengan siapa serasi. Nak tinggal dengan tok umi pun boleh. Cuma dia sudah jadi kekuatan saya sebab umi dia dah tak ada.
“Kalau dia nak tinggal dengan ibu saudara pun tak apa, cuma jangan paksa hati nak jaga hati sesiapa. Ikut mana yang kita nak hadap hari-hari,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok di Jitra kelmarin.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Sri Aman, Jitra.














