fbpx

Algeria, Uruguay pilih ASEAN sebagai rakan strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Republik Demokratik Rakyat Algeria dan Republik Uruguay secara rasmi memilih ASEAN sebagai rakan strategik global dengan menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penyertaan kedua-dua negara itu sebagai satu langkah penting ke arah perluasan kerjasama strategik ASEAN di peringkat global.

“Penyertaan Algeria dan Uruguay adalah satu detik bersejarah yang membuktikan daya tarikan nilai-nilai ASEAN dalam mencorak hubungan antarabangsa yang aman, saling menghormati dan progresif.

“Langkah ini bakal membuka laluan kepada kerjasama rentas benua yang lebih erat, serta memperkukuh kefahaman antara ASEAN dan rantau-rantau berkenaan,” katanya ketika ucapan pembukaan Majlis Menandatangi Dokumen Penyertaan ke dalam TAC.

Sejak ditubuhkan pada 1976, TAC menjadi platform penting ASEAN untuk mempromosikan prinsip-prinsip asas seperti menghormati kedaulatan negara, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman, penyelesaian pertikaian secara aman dan penolakan penggunaan kekerasan.

Penyertaan Algeria dan Uruguay menandakan pengiktirafan terhadap prinsip-prinsip tersebut yang kekal relevan hingga ke hari ini.

Menurut Mohamad, ASEAN menegaskan bahawa TAC bukan hanya kerangka serantau, tetapi satu manifestasi komitmen global terhadap keamanan dan dialog terbuka.

“Kita melihat peluang besar untuk kerjasama yang lebih mendalam serta pemahaman dua hala yang lebih kukuh antara ASEAN dan rantau masing-masing. Ia juga mencerminkan pendekatan ASEAN yang berpandangan jauh ke hadapan dan inklusif,” katanya.

Beliau mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, mengucapkan tahniah kepada Algeria dan Uruguay selain menyatakan keyakinan terhadap masa depan kerjasama serantau yang semakin erat melalui TAC.

“Dalam semangat persahabatan, saling menghormati dan keamanan sejagat, ASEAN menyambut baik penyertaan ini sebagai simbol solidariti global yang kian kukuh,” katanya.

Penyertaan Algeria dan Uruguay menjadikan jumlah keseluruhan penanda tangan TAC meningkat kepada lebih 50 buah negara.

Ia termasuk kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah dan Russia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI