PETALING JAYA – Tarif 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia bermula 1 Ogos ini tidak ada kaitan dengan penyertaan negara dalam BRICS.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata, produk seperti minyak dan gas tidak dieksport ke AS, manakala sektor semikonduktor pula diberikan pengecualian tarif sehingga 1 Ogos.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung dasar luar negara termasuk isu perdagangaan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara.
“Untuk isu konsesi perdagangan antara Malaysia dan AS, itu (isu tarif) bidang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Kita tak boleh buat spekulasi tentang dasar luar negara kerana ia boleh jejaskan ekonomi. Jadi, tidak timbul isu penyertaan dalam BRICS sebagai punca tarif ini dikenakan,” katanya ketika ditemui media pada Sesi Taklimat Sawit dan Dialog Industri anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, daripada jumlah keseluruhan eksport negara sebanyak RM186 bilion tahun lalu, hanya sekitar RM20 bilion melibatkan pasaran AS.
Jelasnya, antara produk utama yang dieksport termasuk produk getah (seperti sarung tangan), perabot kayu, oleokimia daripada minyak sawit, koko dan coklat.
“Untuk minyak sawit, khususnya dalam bentuk oleokimia, AS tidak mempunyai alternatif yang mampu menggantikan produk kita. Jadi apabila tarif dikenakan, kos itu akhirnya akan ditanggung oleh pengguna mereka sendiri,” katanya.
Johari berkata, walaupun kadar tarif dinaikkan, Malaysia masih mampu bersaing kerana pasaran global tidak bergantung semata-mata kepada AS.
Sebagai contoh, beliau berkata, produk sarung tangan turut dikeluarkan oleh negara seperti China dan Vietnam, yang dikenakan tarif lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Begitu juga dengan perabot. Pembelian perabot banyak bergantung pada reka bentuk, dan reka bentuk kita unik. Kalau harga naik 25 peratus pun, itu bukan penghalang besar.
“Kita ada lebih 190 negara di dunia. Takkan satu negara naikkan tarif, kita terus tak boleh berniaga?” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan isu tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan eksport Malaysia, akan dibincangkan di Kabinet esok.
Menurutnya, daripada jumlah RM186 bilion eksport komoditi, kira-kira RM20 bilion disalurkan kepada Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE