JUARA bertahan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolts tidak meletakkan sasaran tinggi menghadapi saingan musim ini apabila persiapan mereka terganggu susulan ketiadaan ramai tonggak utama pasukan.
Menurut ketua jurulatihnya, Wan Mohd. Roslan Wan Abdul Rahman, sebahagian besar pemain utama kini bersama skuad kebangsaan di Piala Remaja Asia yang sedang berlangsung di Dazhou, China.
“Ramai pemain tidak ada, ramai yang pergi Piala Remaja Asia. Ada empat orang pula yang tak lepas untuk remaja kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, hanya enam pemain daripada skuad remaja kebangsaan dijangka kembali menyertai SSTMI Thunderbolts sepanjang saingan liga berlangsung.
Disebabkan itu, SSTMI kali ini dibarisi sebahagian besar muka baharu yang masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan intensiti kejohanan.
“Memang ramai muka-muka baharu tetapi kalau dari segi prestasi, memang kurang. Nak dapatkan pemain yang sama tahap dengan yang kita lepaskan ke remaja kebangsaan, memang jauh (dari segi kualiti permainan),” ujarnya.
Situasi itu menjadikan musim kali ini sebagai fasa pembangunan semula SSTMI Thunderbolts yang sebelum ini muncul juara edisi 2024 dengan kemenangan bergaya 7-0 ke atas Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts di pentas final.
Mengulas sasaran musim ini, Wan Mohd. Roslan mengakui beliau mengambil pendekatan lebih realistik memandangkan banyak pasukan lain telah melakukan persiapan rapi lebih awal.
MJHL 2025 bakal berlangsung dari 7 Julai ini hingga 23 Ogos nanti membabitkan 63 pasukan termasuk 23 skuad wanita iaitu penyertaan tertinggi dalam sejarah kejohanan itu. – AGENSI