BESUT – Selepas lebih tiga minggu tidak putus-putus menerima tetamu, keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman akhirnya dapat ‘bercuti’ dan menguruskan beberapa urusan peribadi yang tertangguh sejak pemergian penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Bapa Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, berkata, dia dan isteri, Kamariah Abdul Latif, 60, memilih keluar rumah pada awal pagi hari pertama mereka ‘menutup’ kunjungan ramai ke kediaman mereka di Kampung Gong Pasir di sini semalam.
Sehubungan itu, dia berharap orang ramai dapat menghormati permintaan keluarganya dengan menangguhkan dulu hasrat berkunjung ke rumah mereka buat sementara waktu.
“Saya dan isteri keluar rumah sejak awal pagi (semalam) lagi. Kalau ada yang datang saya harap mereka faham.
“Kami telah menguar-uarkan tidak dapat menerima tetamu buat sementara waktu bermula hari ini (semalam) sehingga Sabtu untuk menguruskan hal mustahak,” katanya di sini semalam.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan keluarga Nurly memutuskan untuk tidak menerima tetamu selama empat hari dari Rabu hingga Sabtu ini berikutan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat terutama terhadap tanah kubur pelajar UPSI tersebut.
Abang Allahyarham, Mohd. Najmuddin, 28, berkata, tempoh berkenaan juga membolehkan ibu dan bapanya, Kamariah dan Azman berehat sebentar setelah tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai dari seluruh negara sejak 9 Jun lalu.
Rumah keluarganya dikunjungi lebih 1,000 tetamu sehari sepanjang tempoh itu dengan kebanyakannya mahu menatap sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan Nurly dan menziarah kubur gadis tersebut.
Berkata lanjut, Azman memberitahu, dia sekeluarga mengalu-alukan kehadiran semula tetamu setelah semua urusan keluargannya selesai.
“Walaupun masih terkejut dengan dakwaan perbuatan khurafat, saya dan isteri mengalu-alu kehadiran tetamu dengan hati terbuka.
“Bagi kami kehadiran mereka membawa rezeki, semoga doa diberikan mengalir kepada anak bongsu kami (Nurly),” katanya.
















