fbpx
Suasana lengang di Terminal Pengangkutan Awam Pontian, Pusat Perdagangan Pontian kelmarin.

‘Nak dapat RM20 sehari pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Peniaga dan pemandu kereta sewa di Terminal Pengangkutan Awam Pontian, Pusat Perdagangan Pontian di sini, kini menghadapi situasi sukar berikutan kekurangan pe­langgan setiap hari.

Peniaga mendakwa banyak ruang perniagaan kosong, jika beroperasi pun hanya berniaga dua atau tiga hari seminggu.

Seorang peniaga makanan ringan, Alimah Abd. Talib, 43, berkata, peniaga di kawasan terminal itu mengharapkan kepada penumpang bas yang datang untuk ke Kuala Lumpur, Kuala Terengganu dan Johor Bahru.

Katanya, kehadiran penum­pang tidak dapat dijangka bergantung pada hari-hari tertentu atau cuti umum, manakala hari-hari biasa tidak ramai yang berurusan di terminal berkenaan.

“Memang banyak ruang niaga terpaksa ditutup kerana kurangnya sambutan.

“Dalam erti kata lain, perniagaan di terminal ini seperti ‘nyawa-nyawa ikan’ kerana nak dapat RM20 sehari pun susah,” katanya kepada Kosmo!.

Peniaga kedai makan, Hamsah Kasan, 49, pula hanya membuka perniagaan setengah hari pada sebelah pagi hingga tengah hari.

Katanya, dia terpaksa menu­tupnya pada sebelah petang ke­rana ketiadaan pelanggan.

“Selepas tengah hari, pelanggan boleh dikira dengan jari,” katanya.

Bagi pemandu kereta sewa pula, Zainuddin Hamid, 66, perkhidmatan kereta sewa yang beroperasi di terminal itu juga terkesan kerana kekurangan penumpang.

Katanya, pemandu kereta sewa sekarang hanya mendapat dua trip perjalanan dari Pontian ke Kukup Laut sehari dengan sekali perjalanan RM30 bagi empat penumpang.

Bagi perjalanan balik ke Pontian semula, biasanya kosong kerana telah ada persetujuan bersama tidak boleh mengambil penumpang di hentian kereta sewa di Kukup.

“Kami hanya boleh ambil penumpang di tepi jalan Kukup-Pontian, itu pun tidak selalu ke­rana orang ramai kini mempunyai kenderaan sendiri.

“Ketika ini tidak banyak kereta sewa kerana tak sanggup menanti penumpang tiga hingga empat jam, tetapi dapat seorang atau dua penumpang sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN