ADA sebab mengapa Allah temukan kita dengan rakan, sahabat dan ahli keluarga yang sedang berduka diuji dugaan yang begitu berat untuk mereka tanggung.
Tiada tempat mengadu, sudah kering air mata tetapi mereka mahukan tempat ‘bersandar di bahu’ untuk melepaskan tekanan dan kebimbangan yang dihadapi agar bebanan tersebut dapat dikurangkan selain memerlukan sokongan dan doa daripada semua.
Baru-baru ini, seorang rakan yang menghampiri usia emas menunjukkan calar balar di tangan dan di sebelah pipi setelah jatuh tersembam berdekatan eskalator tatkala membantu suaminya yang lemah berjalan akibat penyakit saraf di sebuah stesen bas utama baru-baru ini.
Insiden itu tidak langsung memberi kesan sakit kepada wanita kuat ini tetapi apa yang dirisaukan adalah tahap kesihatan suaminya dan mulutnya tidak lekang mengucap syukur kerana suaminya tidak jatuh di situ, jika tidak, berat lagi masalah yang dihadapinya.
Tidak terhenti kisah di situ, penulis berkesempatan berkunjung ke Utara untuk melawat seorang saudara terdekat yang baru kematian anak perempuannya yang berusia 25 tahun menjadi tulang belakang pencari rezeki untuk keluarga.
Suaminya seorang penghidap diabetes dan sakit jantung menjadi penguat semangat dirinya untuk menjaga anak sulung yang merupakan orang kurang upaya sejak lahir terbaring seperti bayi yang perlu diuruskan daripada makan pakai hingga ke tandas dan segalanya.
Kudrat orang tua tidak termampu lagi untuk menguruskan segala tanggungjawab tersebut, maka arwah, graduan sebuah kolej swasta mengambil alih tugasan berat itu, sanggup tidak bekerja makan gaji cuma mengambil pelbagai upah bekerja dari rumah termasuk mengasuh anak jiran.
Namun, aturan Allah yang terbaik, anak perempuannya mengidap satu penyakit misteri yang membuatkan kegagalan saraf sehingga koma dan terpaksa dirawat selama hampir dua bulan di hospital sehingga meninggal dunia, kini tiada lagi, orang kuat ke hulu ke hilir menguruskan hal ekonomi, kebajikan ahli keluarga pesara kerajaan itu.
Rumah wanita itu kini begitu sunyi dan sepi hanya terdengar suara abang arwah yang terlantar tidak mengerti tentang apa yang dideritai oleh kedua-dua ibu bapanya.
Ini adalah antara jutaan kisah sedih sebahagian masyarakat masa kini dalam keadaan kita yang masih sihat dan boleh keluar bekerja, perlu banyak bersyukur dan kuat berdepan ujian tanpa mengadu lelah, murung dan anxiety.
Itu belum dikira cabaran berdepan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan tarif elektrik serta juga rasionalisasi subsidi RON 95 yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
Semua itu hanya satu lagi ujian teknikal yang boleh kita hadapi dengan persediaan baik.
Jangan terlalu banyak mengeluh dengan kos sara hidup yang meningkat, nilai gaji, pendapatan yang semakin menyusut, beban kerja bertambah, kesesakan jalan raya dan kisah tular masyarakat di media sosial sehingga mampu membuka aib masing-masing.
Hayati ujian tersebut dengan kematangan fikiran, bersikap lebih positif, bersangka baik, sentiasa menceriakan sisa kehidupan yang ada dengan melakukan kebaikan, sentiasa meraikan diri sendiri dan jangan sesekali siksa hati serta diri sehingga menjadi lebih tua daripada usia yang sebenarnya. -KOSMO! ONLINE














