JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi nekad dua pencuri memanjat pagar sebuah rumah untuk mencuri cermin sisi kenderaan utiliti sukan (SUV), lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku Sabtu lalu di Bogor, wilayah Jawa Barat pada pukul 4.27 pagi (waktu tempatan).
Dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dua lelaki menaiki motosikal dilihat berhenti di luar pagar sebuah rumah yang berkunci.
Salah seorang daripada mereka memanjat pagar dan masuk ke halaman rumah sebelum mencabut cermin sisi SUV jenis Fortuner.
Dia mencabut kedua-dua cermin sisi lalu memberikannya kepada rakan subahat yang menunggu di luar.
Selepas kerjanya selesai, lelaki tersebut memanjat pagar untuk keluar lalu mereka melarikan diri.
Ketua Polis Bojong Gede Asisten Komisioner Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada mangsa dan sedang menyiasat kes itu. – AGENSI