fbpx

Perhilitan tangkap gajah liar rosakkan tanaman penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI memindahkan gajah liar oleh dua gajah denak di Kampung Plang, Gerik hari ini.

GERIK – Seekor gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Plang di sini sejak awal bulan lalu, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah jantan dewasa dianggarkan berusia antara 26 hingga 30 tahun dengan berat 2.8 tan itu ditangkap dalam operasi Ahad lalu.

Katanya, tangkapan terhadap gajah tersebut melegakan penduduk yang bimbang dengan kacau ganggu mamalia itu yang semakin kerap bulan ini.

“Aduan pertama diterima Mei lalu berkaitan kehadiran kumpulan gajah ini yang dilaporkan telah merosakkan kebun pisang dan getah milik penduduk.

“Berdasarkan laporan penduduk, kacau ganggu itu semakin kerap berlaku bulan ini. Justeru itu, kawalan dan pemantauan dilakukan di lokasi sekitar sehinggalah gajah berkenaan berjaya ditangkap Ahad lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi memindahkan mamalia itu dibantu dua gajah denak iaitu Rambai dan Cheri yang dibawa dari Pusat Konservasi Gandah Kebangsaan (PKGK), Pahang.

Katanya, operasi translokasi itu bermula pada pukul 8.30 pagi dengan dibantu 13 kakitangan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak bersama sepasukan 12 anggota PKGK.

“Gajah liar itu akan dipindahkan ke habitat lebih sesuai dan selamat untuknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI