PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan universiti masing-masing bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.
KPT berkata, pematuhan SOP itu penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Pematuhan itu juga penting bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap pelajar yang berada di bawah tanggungjawab universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemui maut dalam rumahnya dipercayai dibunuh pagi kelmarin.
Mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemui maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi.
KPT berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penuntut berkenaan.
“KPT sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Sehubungan itu, pihak KPT menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti pihak yang terlibat,” katanya.
KPT juga sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan setiap IPT kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pelajar. – KOSMO! ONLINE