LONDON – Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilaporkan sudah menghungi Napoli untuk melihat potensi perpindahan penyerang pasukan itu yang turut menjadi buruan banyak kelab Eropah ketika ini.
Liverpool dilaporkan bersedia menjadikan dua pemain mereka sebagai terma perpindahan untuk mendapatkan khidmat Victor Osimhen sekali gus meredakan keinginan mereka mendapatkan khidmat Alexander Isak.
Pengendali Liverpool, Arne Slot sudah berjaya mendapatkan khidmat Florian Wirtz, Jeremie Frimpong dan Giorgi Mamardashvili selain semakin hampir untuk memuktamadkan perpindahan Milos Kerkez serta memburu kelibat Marc Guehi.
Namun, Liverpool enggan meninggalkan pasaran perpindahan kali ini terlalu awal apabila menjadikan Osimhen sebagai sasaran baharu untuk memperkuatkan pasukan itu pada saingan musim depan.
Pemain antarabangsa Nigeria itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan Napoli yang dikemudi Antonio Conte menyebabkan urusan perpindahannya lebih mudah sekiranya juara Serie A itu ditawarkan nilai yang munasabah.
Laporan terbaharu menyebut, Liverpool sedia menjadikan Federico Chiesa dan Darwin Nunez sebagai ‘umpan’ bersama wang tunai berjumlah £17 juta (RM97.82 juta) untuk menarik minat Napoli bersetuju dengan perpindahan berkenaan.
Napoli sebelum ini difahamkan meletakkan tanda harga sekitar £64 juta (RM368.26 juta) untuk mereka bersetuju melepaskan khidmat Osimhen sekali gus tawaran daripada Liverpool mungkin mampu dipertimbangkan oleh mereka. – AGENSI