MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Mason Mount tidak bercadang untuk meninggalkan United pada musim panas ini.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano, mendedahkan spekulasi perpindahan Mount hangat diperkatakan selepas prestasinya tidak menepati jangkaan sejak menyertai United dari Chelsea dengan nilai £55 juta (RM313.31 juta) pada musim panas 2023.
Masalah kecederaan dan kecergasan mengehadkan pemain tengah England itu kepada hanya 13 penampilan Liga Perdana musim lalu, selain menyumbang hanya tiga gol daripada 26 aksi keseluruhan.
Menurut laporan, Aston Villa berminat mendapatkan Mount, dengan pengurus, Unai Emery mahu menambah pengalaman dan kualiti teknikal dalam skuad bagi menghadapi saingan musim 2025/26.
Bagaimanapun, Romano menepis dakwaan itu dan menegaskan Mount tidak mempunyai hasrat meninggalkan Old Trafford di platform media sosial X.
“Mount tidak merancang untuk meninggalkan Man. United walaupun terdapat laporan beberapa kebelakangan ini.
“Dia memberi tumpuan untuk kekal cergas, melakukan kerja pramusim dengan sebaik mungkin dan kekal bekerja sepanjang musim bersama Ruben Amorim,” katanya.
Mount kekal dalam perancangan pengurus baharu United, Ruben Amorim yang sebelum ini turut memuji etika kerja serta komitmen pemain itu secara terbuka, sama seperti bekas pengurus United Erik ten Hag.
Walaupun ramai penyokong menganggap Mount masih gagal membuktikan nilai sebenarnya, Amorim dilihat yakin pemain berusia 25 tahun itu mampu bangkit semula musim ini. – AGENSI