Perancangan yang dibuat kadang-kadang tak menepati kehendak kita, walaupun jadual pasang surut air telah dipilih pada hari sangat baik, namun tidak semuanya menjadi kenyataan.
Begitulah yang terjadi dengan trip memancing saya baru-baru ini. Sebaik keluar dari Kuala Dungun, Terengganu, ombak ganas mula menghempas bot menyebabkan hati saya gusar.
Parah kalau macam ini, bisik hati. Mungkinkah kumpau berdarah sejuk akan berlaku?
Untuk mengaburi mata rakan-rakan agar tidak menampakkan tanda-tanda mabuk laut, saya cepat-cepat mencari tempat tidur dengan alasan untuk memulihkan tenaga akibat keletihan memandu.
Itulah hakikat yang saya terpaksa tempuhi akibat dilanda mabuk halal percuma dan hanya terbaring di dalam bot. Jangan kata hendak memancing, untuk memasang pemegang joran di birai bot pun tidak mampu dilakukan. Bukan saya seorang sahaja, malah ada dua orang lagi turut mabuk.
Dua jam perjalanan, terhidu bau semerbak masakan rendang ayam, namun saya tidak berupaya bangun, apa lagi untuk makan, walaupun sahabat menghulur sepinggan nasi bersama rendang ayam tersebut.
Rasa nak marah pada Budin pun ada, masa kita tidak mabuk atas bot tidak mahu pula dia masak sedap-sedap.
Sampai lokasi pertama
Selepas seharian perjalanan, kami tiba di lokasi pancingan. ÂMasing-masing menurunkan umpan selepas mendapat isyarat daripada tekong.
Teknik pancingan di sini menggunakan perambut gaya apollo, satu perambut ibu dengan lima perambut anak yang diikat mata kail saiz 3/0 dan dipasang umpan hirisan sotong atau potongan ikan selayang.
Ketua trip Helmie mendahului tangkapan dengan ikan ibu kerisi, seterusnya peserta yang lain. Ada juga hasil pancingan berselang-seli dengan ikan kerapu minyak, kerapu bara dan merah coreng.
Namun, rata-rata peserta menaikkan ikan ibu kerisi yang semuanya berskala lebih kurang dua kilogram (kg).

Lubuk kedua
Selepas beberapa jam berada di lubuk pertama, ikan bagaikan telah mengunci mulut, seterusnya tekong pindah lokasi. Di lubuk baharu ini, teknik pancingan turut berubah, daripada perambut stail apollo bertukar ke satu perambut sepanjang tiga depa dengan kekuatan 60 paun (lb) ke atas, hujungnya diikat satu mata kail saiz 7/0.
Hasilnya, Helmie, Halisham, Budin dan Amir berjaya mendaratkan empat ekor ikan siakap merah dengan berat di antara lima hingga tujuh kilogram seekor.
Cemburu melihat mereka berjaya menaikkan spesies ikan tersebut, saya cuba bangun untuk memancing.
Namun tidak berupaya kerana isi perut yang terlebih dahulu keluar. Terpaksalah masuk ke tempat pembaringan semula.
Saya hanya mampu menonton mereka menaikkan ikan siakap merah seekor demi seekor sehinggalah pada pukul 6 pagi tekong beralih lubuk lagi.
Hari kedua
Pada pukul 9 pagi, sesi pancingan bagi hari kedua bermula.
Di tempat baharu yang berhampiran pelantar minyak ini, Wan Faizal berjaya mendapat tarikan ikan merah coreng seberat empat kilogram, diikuti oleh Ipin dengan ikan tenggiri remaja.
Banyak juga ikan sagai dan cermin dapat dipancing oleh rakan-rakan seÂÂhingga ke malam hari. Kemudian, tekong berpindah lagi ke lubuk lain.
Hari ketiga
Pada pukul 8.30 pagi, saya terjaga akibat panahan cahaya matahari yang menerobos ke ruang pembaringan. Kali ini, saya melihat rakan-rakan sedang sibuk menarik ikan jebong.
Ketika berada di lubuk ini, banyak ikan jebong dapat dipancing dengan kaedah mata kail saiz halus kerana ikan ini bermulut kecil.
Selepas berpindah beberapa lubuk, tekong mula menghala ke arah jalan pulang, sebelum singgah di lokasi terakhir. Kami memancing di situ bagi menambah koleksi ikan untuk memenuhi tong.
Pada pukul 9 malam barulah sesi pancingan ditamatkan dan kami terus bergerak ke jeti Kuala Dungun semula. Kami selamat tiba di jeti pada pukul 8 pagi keesokan harinya.
















