PETALING JAYA – Sumbangan pelaut jarang disedari sedangkan peranan mereka sangat penting dalam memastikan rantaian bekalan dunia terus bergerak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tanpa pelaut, barangan diguna setiap hari daripada makanan, pakaian hingga ke bahan binaan tidak akan sampai ke destinasi dengan lancar.
“Hari ini, kita mengenang jasa dan pengorbanan para pelaut yang menjadi tulang belakang kepada perdagangan global dan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial sempena Hari Pelaut Sedunia hari ini.
Anthony Loke berkata, beliau mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelaut Malaysia yang tabah mengharungi lautan jauh dari keluarga demi tugas.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan terus komited memperjuangkan kebajikan dan keselamatan para pelaut Malaysia. – KOSMO! ONLINE