fbpx

Ayam dalam air kotor, 4 premis diarah tutup serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). -Foto FB DBKL

PETALING JAYA – Sebanyak empat premis penyembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen diarah tutup serta merta dalam satu operasi bersepadu di sekitar Jalan Semerah Padi dan Jalan Kuari, Bukit Cheras, baru-baru ini.

Operasi melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu dijalankan susulan aduan berkaitan isu kebersihan dan sijil halal.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, tujuh premis diperiksa dan empat daripadanya dikenakan tindakan tutup serta-merta, manakala lapan notis serta kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan termasuk penyembelihan tanpa sijil halal, penyembelih tidak berdaftar, lantai dan dinding premis kotor, ayam direndam dalam air kotor bercampur darah, serta sisa dibuang terus ke longkang dan saliran monsun,” katanya.

Menurutnya, premis yang menggaji pekerja asing itu dipercayai membekalkan ayam ke restoran sekitar Cheras dan Kuala Lumpur.

“Pihak JAWI turut mengesahkan terdapat tukang sembelih di premis terbabit yang sudah dibatalkan sijil penyembelihannya.

“Kesemua premis juga didapati gagal mengemukakan bukti suntikan pelalian, sijil kursus pengendalian makanan serta penyelenggaraan perangkap minyak dan penapis sisa,” katanya.

Menurut DBKL, pihaknya akan terus memperketat tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan struktur terhadap premis yang beroperasi tanpa kelulusan.

“DBKL komited memastikan keselamatan makanan dan kesucian amalan penyembelihan sentiasa terpelihara demi kesejahteraan warga kota,” jelasnya. – KOSMO!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI