fbpx
TIANGONG Ultra menjadi robot pertama yang menamatkan larian dengan masa dua jam 40 minit.

K2

Acara larian pertama di dunia libatkan robot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM ini, mungkin tiada siapa yang membayangkan bahawa robot boleh berlari bersebelahan dengan manusia dalam satu acara larian maraton.

Namun, tiada apa yang mustahil ketika ini apabila China telah memecah norma dengan mengadakan acara larian separa (half) maraton, dan disertai oleh peserta robot humanoid.

Berdasarkan laporan daripada portal berita CNN, China telah mencatat sejarah dengan penganjuran acara larian robot humanoid pertama di dunia, sekali gus memperlihatkan kemajuan pesat negara itu dalam bidang robotik berkaki dua.

Menurut laporan tersebut, acara yang berlangsung di kawasan tumpuan syarikat teknologi di daerah Yizhuang, Beijing itu melibatkan lebih 20 robot humanoid bersama 12,000 peserta manusia berlari sejauh 21 kilometer.

Menurut penyelidikan di Institut Tadbir Urus Antarabangsa Kecerdasan Buatan Universiti Tsinghua, ZongZe Wu, penganjuran acara itu mewakili pencapaian teknologi dan kejuruteraan yang semakin pesat di China.

“Walaupun robot humanoid masih mempunyai perjalanan yang panjang, namun kejayaan robot ini melengkapkan larian merupakan satu kejayaan luar biasa.

“Kehadiran robot dalam acara larian jarak jauh ini mungkin membangkitkan kebimbangan berkaitan dominasi kecerdasan buatan dalam bidang fizikal.

“Namun, prestasi robot dalam acara ini masih menunjukkan perbezaan ketara berbanding kemampuan manusia,” katanya dalam satu artikel di portal The Diplomat.

SEBAHAGIAN peserta larian teruja melihat aksi robot humanoid.

Dalam acara tersebut, robot pertama menamatkan perlumbaan dikenali sebagai Tiangong Ultra yang mengambil masa selama dua jam 40 minit berbanding pemenang manusia iaitu satu jam 2 minit.

Robot-robot yang bertanding mewakili pelbagai institusi akademik dan syarikat teknologi. 

Acara itu bukan sekadar perlumbaan, malah ia merupakan demonstrasi keupayaan algoritma kawalan pergerakan, ketahanan fizikal robotik serta pengurusan tenaga melalui penukaran bateri. 

Menurut laporan media Beijing, Daily, peserta robot juga perlu berlari melalui cerun landai dan laluan berliku, sekali gus menjadikan acara itu medan ujian yang kompleks.

Berkongsi tentang perjalanan perlumbaan, ketua pegawai Teknologi di pusat inovasi robotik Beijing, Tang Jian memberitahu, robot dibenarkan menukar bateri dan ada syarikat turut menukar unit robotik yang tidak mampu berfungsi.

Setiap pertukaran unit robot dikenakan penalti masa selama 10 minit. 

“Tiangong Ultra hanya menukar bateri sebanyak tiga kali, ia satu pencapaian yang menunjukkan kecekapan penggunaan tenaga dan kestabilan reka bentuknya.

“Kejayaan Tiangong Ultra banyak bergantung kepada reka bentuk kakinya yang panjang dan algoritma pintar dengan meniru gaya larian manusia,” ujarnya.

Namun katanya, cabaran teknikal masih wujud kerana kebanyakan robot memerlukan sokongan daripada manusia yang berlari di sisi bagi mencegah ia jatuh.

Ada juga robot yang diikat menggunakan tali keselamatan atau dikawal dari jauh.

Perkara itu menyerlahkan hakikat penting bahawa robot humanoid masih mengalami masalah kestabilan dan kemampuan beradaptasi terhadap persekitaran sebenar. 

Justeru itu, aspek imbangan badan, kecekapan tenaga dan ketahanan mekanikal masih memerlukan kajian lanjut.

KEBANYAKAN robot masih memerlukan sokongan daripada manusia.

Sementara itu, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China telah mengenal pasti robotik humanoid sebagai salah satu ‘sempadan baharu dalam persaingan teknologi’.

 Rentetan itu, pemerintah China telah menetapkan sasaran untuk pengeluaran besar-besaran serta pengukuhan rantaian bekalan komponen robot humanoid pada tahun ini.

Pada November 2023, pemerintah China telah membentangkan pelan pembangunan rasmi pertamanya untuk robot humanoid dengan melibatkan dua fasa.

Fasa awal memfokuskan pada penemuan teknikal, penggunaan industri dan memupuk perusahaan yang berdaya saing global. Setakat ini, matlamat itu nampaknya telah dicapai sebahagian besarnya.

China juga telah membangunkan teknologi kawalan pergerakan termaju dan melancarkan Gewu iaitu platform sumber terbuka yang melatih lebih 100 varian robot dengan pangkalan kod tunggal. 

Selain itu, menurut Laporan 2025 Humanoid 100 Morgan Stanley, syarikat China kini mewakili 35 daripada 100 firma teratas dalam rantaian nilai robot humanoid.

Menariknya, sembilan syarikat di China mampu menghasilkan robot humanoid bersepadu sepenuhnya berbanding hanya lima di Amerika Syarikat (AS).

Profesor daripada Universiti Negeri Oregon, AS, Alan Fern telah memuji pencapaian robot-robot dalam perlumbaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pencapaian luar jangka. 

Beliau menyatakan bahawa belum ada peneraju tunggal yang dominan dalam bidang robotik humanoid di peringkat global. 

Ketika ini, syarikat di China, AS dan Eropah berlumba-lumba membangunkan model masing-masing.

“Fenomena ini sejajar dengan perkembangan kecerdasan buatan yang semakin pesat. Ia menimbulkan persoalan mendalam tentang masa depan hubungan antara manusia dan mesin.

“Ia bukan sahaja dari segi produktiviti, malah dari sudut etika, keselamatan dan keseimbangan sosial,” kongsinya.

Katanya lagi, acara separa maraton itu bukan sekadar satu simbolik, sebaliknya ia merupakan penanda aras terhadap kemajuan dan cabaran dalam bidang robotik humanoid. 

Walaupun robot masih jauh untuk menandingi manusia dari segi keupayaan fizikal dalam larian jarak jauh, namun acara itu telah memberikan gambaran awal tentang potensi besar automasi mobiliti, pergerakan autonomi dan integrasi AI dalam kehidupan harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN