PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawah naungannya.
Menurut Anwar, mesyuarat itu memberi fokus kepada keperluan memperkukuh daya saing ekonomi domestik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, selain memastikan pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah.
“Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha dalam meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, terutamanya Bumiputera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula harus terus komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera perlu kekal menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif kerajaan.
“Ini termasuk pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah dilancarkan bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera terus dipacu secara berkesan,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE.