SEBAGAI sebuah bandar pesisir di Utara Sarawak, Miri kini semakin menjadi pilihan pelancong yang mencari pengalaman percutian unik di Borneo dengan bajet berpatutan.
Dengan kombinasi landskap semula jadi memukau, warisan budaya dan makanan tempatan memikat, Miri menawarkan sesuatu yang luar biasa kepada pengunjung tanpa perlu berbelanja besar.
Berdasarkan perkongsian dalam platform percutian digital Agoda, Miri turut tersenarai sebagai destinasi percutian paling murah untuk percutian akhir tahun.
Menurut Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei Agoda, Fabian Teja, Miri membuktikan bahawa percutian menyeronokkan tidak semestinya mahal.
“Dengan perancangan yang bijak dan pilihan destinasi tepat, pengalaman luar biasa di Sarawak boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja. Ini termasuk pengembara solo, keluarga mahupun pasangan muda yang ingin melancong secara sederhana tetapi bermakna.
“Malah, perjalanan ke Miri kini lebih mudah dengan adanya penerbangan tambang murah seperti AirAsia dan Firefly yang menawarkan tiket pada harga kompetitif terutamanya jika ditempah awal,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan yang jimat seperti perkhidmatan e-hailing dan sewa motosikal atau kereta.
Dari segi penginapan, Miri mempunyai pelbagai pilihan hostel, hotel ekonomi serta inap desa yang selesa. Kebanyakan tempat penginapan itu menawarkan harga di bawah RM100 semalam.
Antara tempat yang sering menjadi pilihan pelancong termasuklah Coco House dan Dillenia Guesthouse serta Tim’s Seaside Hideout.
Bagi pencinta alam semula jadi, Miri adalah syurga tersembunyi, dan antara tarikan utama yang wajib dikunjungi adalah Taman Negara Niah.
Lokasi tersebut terkenal dengan Gua Niah iaitu tapak arkeologi penting yang menyimpan tinggalan manusia purba serta lukisan gua prasejarah.
Terletak kira-kira sejam perjalanan dari pusat bandar, taman negara itu sesuai untuk aktiviti mendaki dan eksplorasi sejarah dengan bayaran masuk berpatutan.

“Bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki dan ingin menikmati air terjun semula jadi, Taman Negara Lambir Hills adalah pilihan terbaik.
“Laluan hutan tropika yang menghijau membawa pengunjung ke air terjun cantik seperti Air Terjun Latak,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi mereka yang gemar suasana santai, Miri menawarkan pantai-pantai tenang seperti Pantai Tanjung Lobang dan Pantai Luak Esplanade.
Pantai-pantai ini menjadi lokasi popular untuk berkelah, menyaksikan matahari terbenam dan menikmati makanan jalanan.
Pengunjung juga harus melawat Canada Hill yang menempatkan Muzium Petroleum iaitu bekas tapak telaga minyak pertama negara.
Selain mengetahui sejarah awal industri petroleum Malaysia, pengunjung dapat menikmati pemandangan panoramik bandar Miri dari atas bukit.
Kongsi Fabian, dari segi makanan, Miri tidak mengecewakan.
Antara sajian tempatan popular adalah mi kolok, laksa Sarawak, nasi lemak kampung dan pelbagai kuih-muih tradisional yang boleh dinikmati dengan harga murah di Pasar Malam Saberkas atau Tamu Muhibbah.














