KEGAGALAN skuad hoki lelaki negara melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2025 perlu diambil serius dan sesuatu yang membimbangkan.
Untuk rekod, sudah dua tahun Malaysia gagal menaiki podium antarabangsa sejak muncul naib juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India dengan kali terakhir bergelar juara pada Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak.
Transformasi dilakukan dengan merombak barisan kejurulatihan dan pemain sejak tahun lalu boleh dikatakan tidak berada pada landasan yang tepat berdasarkan prestasi keseluruhan pasukan.
Lebih malang, Speedy Tigers yang sebelum ini pernah berada dalam kelompok 10 negara terbaik dunia pada 2022, jatuh ke ranking ke-15 dunia iaitu kedudukan terendah sejak 2008.
Ia susulan keputusan seri 3-3 dengan Pakistan dan kekalahan 3-4 kepada New Zealand dalam dua aksi pertama Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil minggu ini.
Kemenangan tipis 2-1 ke atas Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan membolehkan Speedy Tigers naik satu anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia, namun belum cukup ke separuh akhir.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, rata-rata peminat setia hoki tanah air mula meluahkan kebimbangan terhadap masa depan Speedy Tigers.
Ada juga menggesa hoki mengikut jejak pasukan Harimau Malaya yang mengambil pemain warisan.
Malangnya, sukan hoki tidak semudah bola sepak untuk mencari pemain-pemain berketurunan Malaysia di luar negara yang benar-benar berkualiti dan bertaraf dunia untuk mewakili skuad kebangsaan.
Untuk pengetahuan, Speedy Tigers pernah mendapat sentuhan pemain warisan dari Jerman, Kevin Lim yang diambil untuk menghadapi Piala Dunia 2014 tetapi dia mengalami kecederaan beberapa hari sebelum kejohanan bermula.
Malaysia sebenarnya memiliki bakat-bakat tempatan untuk bersaing sengit di pentas antarabangsa biarpun kini tidak lagi diperkuatkan dengan beberapa nama berprofil tinggi seperti Razie Rahim dan Faizal Saari yang sudah bersara.
Skuad hoki negara masih ada penggempur muda antaranya Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius yang boleh menjadi masa depan kepada Speedy Tigers.
Cumanya, pihak berwajib perlu sedar dan membuka mata dengan mendapatkan kepakaran jurulatih luar negara yang lebih muda dan segar dengan permainan hoki moden masa kini untuk diterapkan dalam skuad,
Jika selama ini hoki dianggap sukan berpasukan paling cemerlang di Malaysia sehingga tersenarai dalam program elit Road to Gold (RTG), kini takhta itu sudah beralih kepada sukan sepak takraw.
Memandangkan tiada petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan selain prestasi semasa hoki negara, sesuatu yang segera perlu dilakukan sebelum Piala Asia 2025 bermula di Rajgir, India pada Ogos depan.
Juara kejohanan itu akan ditawarkan tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda tahun depan.














