“APABILA teringat kembali detik-detik saya diminta untuk melepaskan dia (bekas isteri), pasti hati mula sebak.
“Perkara tersebut berlaku disebabkan silap saya yang tidak pandai memandu kereta, walaupun sudah menginjak usia 40 tahun ketika itu.”
Itu kata-kata yang dibutirkan oleh Asman (bukan nama sebenar) kepada K-Wanita saat membuka cerita mengenai kisah perceraiannya kira-kira dua tahun lalu.
Menurut anak jati Gua Musang, Kelantan itu, dia ditakdirkan bercinta dan berkahwin dengan wanita berasal dari Selangor. Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
“Isteri saya merupakan seorang eksekutif bank, manakala saya pula bekerja sebagai pembantu am di sebuah agensi kerajaan.
“Waktu kerja kami hampir sama. Jadi, setiap pagi isteri yang hantar saya ke tempat kerja dengan menggunakan kereta.
“Namun, jika isteri ada hal dan tidak dapat hantar atau ambil saya dari tempat kerja, saya akan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Akui Asman, sejak remaja, dia memang tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal.
Jelas anak bongsu itu, dia bukan tidak pernah belajar atau cuba mengambil lesen memandu dan menunggang motosikal, tetapi ada pengalaman pahit yang menyebabkannya trauma.
“Usai tamat Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM), saya pernah mendaftar kelas memandu tetapi ia terhenti separuh jalan.
“Ini selepas saya terjatuh dari motosikal ketika melalui ‘titi kecil’ sewaktu sesi ujian penilaian sedang dilaksanakan.
“Bukan setakat itu, saya juga pernah melanggar kereta pelatih lain ketika sedang belajar memandu. Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kepala,” ujarnya.
Jelas Asman, sejak detik itu, dia trauma dan tidak berani lagi memegang stereng kereta dan menunggang motosikal kerana teringatkan peristiwa hitam itu.
Akuinya, dia lebih rela berjalan kaki meskipun jauh atau menggunakan pengangkutan awam termasuk teksi untuk ke mana-mana destinasi tujuan.
“Selepas tamat belajar dan mula-mula bekerja dulu, saya memang lebih selesa menggunakan pengangkutan awam ke tempat pejabat.
“Untungnya, tempat kerja saya terletak di Lembah Klang.
“Jadi, tidak ada masalah dari segi pengangkutan awam untuk ke pejabat, meskipun terpaksa berebut dan bersesak dengan pengguna lain ketika waktu puncak,” katanya.
Diringkaskan cerita, Asman memberitahu, isterinya ada beberapa kali memujuknya untuk mengambil lesen memandu terutamanya selepas bergelar ketua keluarga.
Namun begitu, Asman tidak berani berbuat demikian dan tetap dengan keputusannya untuk tidak mengambil lesen serta belajar memandu.
“Sebenarnya, isteri sudah lama ‘slow talk’ dengan saya supaya pergi ambil lesen dan cuba atasi trauma sebelum ini.
“Namun, saya terlampau ikutkan kata hati dan rasa trauma bagaikan tiada noktah. Jadi, saya tetap berkeras tidak mahu belajar memandu. Sampai satu tahap, isteri pernah ugut untuk berpisah jika saya tidak berbuat demikian.
“Isteri ada merungut, dia berasa sangat penat kerana semua urusan melibatkan perjalanan dengan kenderaan terpaksa dilakukannya bersendirian.
“Dia juga ada beritahu, hidupnya tidak seperti isteri-isteri lain yang boleh berehat ketika di dalam kereta kerana ada suami memandu,” ujarnya.
Kira-kira dua tahun lalu, kata-kata dan ugutan isteri Asman akhirnya menjadi kenyataan selepas ‘orang rumahnya’ memilih memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah.
Sebelum itu, isterinya ada beberapa kali meminta Asman ‘melepaskan’ secara baik, namun permintaan itu tidak dilayan.
“Saya dan isteri berpisah di mahkamah. Ada juga terbit rasa kesal kerana saya tidak pernah menunaikan permintaan isteri untuk belajar memandu.
“Saya faham, dia terlalu penat hidup dengan orang tidak boleh memandu dan menunggang motosikal seperti saya. Jadi, wajarlah dia berbuat demikian,” katanya.














