LONDON – Liverpool enggan menoktahkan usaha mereka untuk menambah pemain baharu dengan tumpuan diberikan untuk menambahkan kekuatan jentera serangan apabila berusaha untuk mendapatkan penggempur baharu.
Perkembangan terbaharu menyaksikan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu bersedia untuk mengeluarkan dana besar bagi memburu khidmat penggempur Newcastle United, Alexander Isak biarpun sedar ia bukan usaha yang mudah.
Pengendali Liverpool, Arne Slot berjaya mendapatkan khidmat Jeremie Frimpong dan Florian Wirtz yang akan diumumkan sebagai pemain The Reds sedikit masa lagi, namun mereka percaya masih mempunyai ruang untuk memperkuatkan pasukan.
Biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £116.5 juta (RM665.06 juta) untuk mendapatkan Wirtz yang menjadi rekod baharu perpindahan di England, Liverpool bersedia untuk melakukan satu lagi kejutan untuk penghijrahan Isak.
Berdasarkan sumber, Liverpool sanggup menyediakan wang tunai sebanyak £100 juta (RM570.87 juta) dan beberapa lagi tambahan nilai dalam bentuk berbeza untuk memujuk Newcastle melepaskan khidmat penyerang itu.
Pemain berusia 25 tahun itu dianggap antara penyerang terbaik di dunia ketika ini selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan itu termasuk membantu Newcastle menjulang trofi Piala Liga Inggeris musim lalu dan mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara.
Situasi itu menjadikan Newcastle dijangka tidak akan melepaskan pemain mereka itu dengan nilai kurang daripada £150 juta (RM856.30 juta), tetapi Liverpool memiliki rancangan apabila bersedia melepaskan khidmat Darwin Nunez dan menggunakan wang tersebut untuk menampung pembelian Isak. – AGENSI