PUTRAJAYA – Edisi pertama Kejohanan Pickleball Terbuka Putrajaya 2025 hujung minggu lalu telah mendapat penyertaan 144 peserta sekali gus membuktikan daya tarikannya semakin berkembang di Malaysia.
Penganjuran di Dewan Pusat Kejiranan Presint 11 itu membabitkan tiga kategori terbuka iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran serta beregu campuran 45 tahun ke atas.
Ia sekali gus mencapai objektif yang bermatlamat memperkenal dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam sukan pickleball iaitu sukan raket sedang meningkat naik di peringkat global ketika ini.
Presiden Persatuan Pickleball Putrajaya (PUPA), Amir Farid Abdul Majid bersyukur kejayaan penganjuran meskipun berdepan dengan kekangan fasiliti dan berharap agar kejohanan akan datang dapat diadakan di gelanggang khas pickleball di Putrajaya.
“Walaupun Putrajaya belum memiliki gelanggang khas pickleball, kejohanan ini membuktikan komitmen serta semangat semua pihak yang terlibat. Terima kasih kepada para penaja dan KBS atas keyakinan dan sokongan melalui Dana Sukan Komuniti,” katanya.

Sementara itu, Penaung PUPA, Datuk Seri Hasim Ismail yang juga mantan Presiden Perbadanan Putrajaya menekankan keperluan membina fasiliti khas untuk sukan pickleball di Putrajaya.
“Sukan ini sesuai untuk semua peringkat umur. Walaupun fasiliti khas belum tersedia, saya yakin dengan usaha bersama pelbagai pihak termasuk potensi tajaan, gelanggang tetap boleh dibangunkan di Putrajaya,” jelasnya.
Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh turut menyatakan komitmennya dalam menyokong pembangunan sukan itu ke peringkat negeri.
“Pickleball berpotensi untuk dipertandingkan dalam temasya SUKMA (Sukan Malaysia) akan datang, dan kejohanan seperti ini adalah langkah menuju ke arah itu,” jelasnya.
Kejohanan itu bukan sahaja menjadi titik permulaan kepada perkembangan berterusan sukan pickleball di Putrajaya, malah membuka peluang ke arah pembangunan fasiliti dan program sukan yang berimpak untuk semua lapisan masyarakat. – KOSMO! ONLINE